KUCHING: Wawancara Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) bakal ditayangkan sempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia.
Selain untuk tayangan istimewa, sesi tersebut juga diadakan sebagai sebahagian daripada usaha dalam penerbitan buku Tuan Yang Terutama (TYT) oleh BERNAMA.
Tun Wan Junaidi dalam kenyataan Facebook sempat merakamkan penghargaan kepada pihak BERNAMA atas kelancaran sesi temu bual yang diadakan.
“Kita doakan semoga sesi tersebut memberikan impak positif serta menjadi rujukan yang bermanfaat kepada generasi pada masa hadapan,” katanya, hari ini.
Sementara, isteri Tun Wan Junaidi, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi turut terlibat dalam sesi wawancara yang diadakan di kediaman rasmi, di Petra Jaya.
Sesi wawancara diketuai Penyunting Bahasa Inggeris BERNAMA Kuala Lumpur, Hamdan Ismail; Ketua Biro BERNAMA Sarawak, Muhammad Ammar Shafiq Hamzah, wartawan Zaphne Philip, Jurukamera TV, Muhammad Iqbal Syahiran Affindi serta jurugambar Ahmad Rushdan Abdul Manan.





