HAZWANI LIYANA
(Pelatih UNIMAS)
KUCHING: Wayang Pacak berpotensi menjadi medium alternatif untuk membawa pengalaman menonton filem lebih dekat kepada masyarakat, khususnya komuniti yang mempunyai akses terhad kepada pawagam.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif tayangan filem secara terbuka itu menggabungkan unsur komuniti, kandungan kreatif, teknologi dan kelestarian, selain menghidupkan semula suasana tayangan filem terbuka yang pernah dinikmati masyarakat Sarawak.
Katanya, teknologi audio berasaskan aplikasi yang dibangunkan Cinewav membolehkan tayangan dilaksanakan di ruang terbuka, sekali gus memberi peluang kepada penduduk di komuniti dan pekan menikmati filem tanpa bergantung kepada pawagam konvensional, katanya dalam ucapan yang disampaikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Perasmian Festival Animasi dan Permainan Borneo 2026, hari ini.
Menurut Abang Johari, konsep itu turut memberi ruang kepada kandungan tempatan diketengahkan kepada khalayak lebih luas.
Antara kandungan yang ditampilkan ialah filem Malaysia menerusi MAFF bersama GSC sempena ulang tahun ketiganya, selain kandungan tempatan mesra keluarga seperti ‘Didi & Friends’ oleh Warnakala.
Beliau berkata, perkembangan industri kreatif perlu bergerak melangkaui studio, persidangan dan dewan pameran dengan memastikan kandungannya dapat diakses serta dinikmati masyarakat umum.
“Apabila kita mengaktifkan ruang awam, kita mengaktifkan ekonomi malam tempatan. Kita mewujudkan ruang untuk komuniti berkumpul. Kita menyokong peniaga tempatan. Kita mewujudkan keterlihatan untuk kandungan tempatan,” katanya.
Justeru, Abang Johari melihat Wayang Pacak berpotensi diteruskan selepas BAGFest menerusi program seperti Kuching Light Festival dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Inisiatif itu juga boleh diperluas ke seluruh Sarawak, termasuk pekan seperti Kapit menerusi rangkaian Digital Innovation Hub Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC)
Dalam pada itu, Abang Johari berkata usaha memperluas ekosistem kreatif perlu disertai penyediaan peluang kerjaya yang bersesuaian dengan perkembangan teknologi.
Beliau berkata, penglibatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi inisiatif metaversenya memberi dimensi baharu kepada peluang pekerjaan dalam sektor digital.
Menurutnya, kemudahan temu duga jarak jauh dan padanan kerjaya digital membolehkan bakat tempatan berhubung dengan bakal majikan tanpa terikat kepada batasan fizikal.
Katanya, bakat dalam bidang animasi, pembangunan permainan, reka bentuk dan seni digital dari Sarawak berupaya menyumbang kepada projek di Kuala Lumpur, Singapura, Tokyo, Seoul, Eropah dan pelbagai lokasi lain.
“Apa yang penting ialah sama ada kita dapat mempersiapkan mereka, menghubungkan mereka dan memberikan platform untuk mereka diketengahkan,” katanya.



