WHO beri amaran awal, tidak simpan rahsia

GENEVA: WHO menegaskan, ia sudah memberi amaran berkaitan Covid-19 dari permulaan wabak itu lagi dan tidak menyembunyikan sebarang rahsia pandemik berkenaan daripada Washington.

Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata tiada rahsia ke atas agensi PBB itu selepas AS menuduh WHO memandang remeh peringkat awal wabak berkenaan tercetus di China.

“Kami sudah memberi amaran dari hari pertama bahawa ia ancaman yang harus dilawan semua orang,” katanya pada sesi taklimat dalam talian pada Isnin.

Virus yang tercetus pada akhir tahun lalu di Wuhan, China setakat ini menjangkiti lebih 2.4 juta penduduk dengan lebih 165,000 korban di seluruh dunia,
berdasarkan data kiraan AFP.

Setakat ini, AS mencatatkan angka kematian tertinggi membabitkan lebih 40,000 jiwa dan Presiden Donald Trump turut dikritik berhubung tindakan beliau mengendalikan krisis Covid-19.

Washington merupakan penyumbang dana terbesar kepada WHO, namun Trump bertindak menyekatnya kerana mendakwa agensi berkenaan salah urus dan menyembunyikan kemelut penyebaran virus itu.

Tegas Tedros, terdapat pegawai Kerajaan AS bertugas di ibu pejabat WHO di Geneva dan bermaksud tiada rahsia disembunyikan dari Washington.

Menurut WHO, terdapat 15 kakitangan dari Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) AS bertugas secara khusus berkaitan Covid-19 bersama-sama agensi itu.

“Mempunyai kakitangan CDC, bermaksud tiada apa-apa disembunyikan dari AS sejak awal.

Ini kerana kakitangan AS terbabit bertugas bersama-sama kami.

Ia secara semula jadi dan mereka memberitahu hal yang mereka lakukan.

“WHO terbuka. Kami tidak sembunyikan apa-apa. Bukan hanya untuk CDC, mereka menghantar mesej, atau yang lain – kami mahu semua negara mendapat mesej sama dengan segera kerana itu membantu mereka membuat persediaan lebih baik dan cepat,” kata Tedros.