KUCHING: Ahli Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS), Wilson Nyabong Ijang, bersedia menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) jika diberi mandat.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pelagus itu berkata dorongan rakan-rakan dalam Majlis Tertinggi PRS serta sokongan padu kebanyakan bahagian PRS di seluruh Sarawak memantapkan keyakinannya untuk memikul amanah tersebut.
Terdahulu, beliau dalam kenyataan mengumumkan hasrat untuk menawarkan diri sebagai calon Presiden PRS.
“Saya dengan penuh rasa tanggungjawab dan rendah hati mengumumkan hasrat untuk menawarkan diri sebagai calon Presiden PRS pada pemilihan Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) PRS, Oktober depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, jelasnya, rakyat akar umbi merupakan sumber kekuatan.
“Setiap kali saya turun ke akar umbi apabila menghadiri majlis rasmi di kawasan, saya sentiasa memastikan masa diluangkan untuk bersama dan bertemu ahli akar umbi PRS.
“Mereka sumber kekuatan saya. Saya bersedia meneruskan dan menambah baik agenda politik yang digariskan oleh pengasas parti, mendiang Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, demi memastikan legasi beliau terus hidup dan membawa PRS ke tahap yang lebih gemilang.
“Sehubungan itu, jika diberi mandat, saya akan berpegang teguh kepada legasi perjuangan pengasas PRS yang sentiasa mengutamakan perpaduan parti, termasuk memperkukuh hubungan dengan parti-parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS), serta menjunjung prinsip keadilan dan pembelaan hak rakyat Sarawak, khususnya masyarakat Dayak.
“Oleh demikian, saya menyeru seluruh ahli PRS agar bersatu hati, memperkukuh perjuangan dan melangkah bersama demi kesinambungan agenda politik yang diilhamkan pengasas kita.
“Dengan kesatuan dan tekad bersama, PRS akan terus relevan, kuat dan menjadi wadah utama perjuangan rakyat di Sarawak,” tegasnya.
Wilson menyifatkan keputusan Majlis Tertinggi PRS pada Ahad (10 Ogos 2025) sekali lagi membuktikan kematangan demokrasi dan politik parti.
“Sejak awal, PRS mengamalkan pemilihan terbuka pada setiap TDC sebagai bukti komitmen terhadap ketelusan dan amalan demokrasi yang tulen.
“PRS sentiasa mengutamakan prinsip musyawarah serta menghormati suara semua peringkat kepimpinan, termasuk akar umbi.
“Pemilihan kali ini sememangnya akan berlangsung dalam semangat kebersamaan dan kekeluargaan, dengan perpaduan sebagai teras.
“Selepas pemilihan, kita perlu kekal bersatu, merapatkan barisan, saling menyokong dan melangkah ke hadapan demi memajukan parti,” tambahnya.

