KUCHING: Aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri maju dan makmur menjelang 2025 dan seterusnya ke arah 2030 memerlukan kerjasama erat dan sinergi antara Kerajaan Negeri Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan.
Hasrat ini mampu dicapai, bergantung kepada pelaksanaan dasar yang inovatif, inklusif dan berasaskan prinsip keadilan sosial, sambil memastikan kelestarian alam sekitar terus diutamakan.
Dalam konteks kestabilan politik, tadbir urus yang telus, demokrasi yang inklusif, serta perpaduan sosial yang kukuh adalah elemen asas yang perlu diperkuatkan bagi menjamin keseimbangan pembangunan ekonomi dan sosial.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UNIMAS Dr. Nur Auni Ugong berkata, Sarawak mampu menjadi negeri model melalui komitmen yang tinggi terhadap tadbir urus yang berintegriti dan strategi pembangunan yang menyeluruh.
“Bukan sahaja dalam aspek ekonomi, tetapi juga unggul dalam menyokong keharmonian antara kaum dengan agama.
“Kerjasama strategik yang melibatkan penyelarasan dasar, penghormatan terhadap autonomi negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pendekatan pembangunan berasaskan keperluan rakyat adalah kunci kepada kejayaan ini.
“Sarawak berpotensi menjadi contoh terbaik melibatkan kestabilan politik, kecekapan pentadbiran dan pembangunan inklusif yang dapat menghasilkan negeri maju, mampan dan progresif, sejajar dengan visi Malaysia baharu yang inklusif dan holistik,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, semalam.
Menurutnya lagi, aspirasi pembangunan negeri Sarawak memerlukan pendekatan holistik yang mengintegrasikan peranan Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
Ia bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif, pembangunan sosial yang saksama, serta memastikan kelestarian alam sekitar.
Bajet Sarawak 2025 berjumlah RM15.8 bilion dengan tema Bersama Membina Masa Depan Sejahtera mencerminkan komitmen serius terhadap pembangunan menyeluruh.
“Kerjasama strategik antara kedua-dua lapisan kerajaan ini adalah kunci kepada kejayaan visi tersebut, terutamanya dalam mengoptimumkan hasil pelaburan, pengurusan sumber dan pelaksanaan dasar yang strategik serta berimpak tinggi.
“Langkah ini dijangka memacu kemajuan negeri dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, sosial dan lain-lain,” katanya.

