Wujudkan program subsidi gaji versi Sarawak

KUCHING: Semua bentuk bantuan kewangan daripada Kerajaan Sarawak amat membantu rakyat dan perniagaan dalam tempoh yang mencabar ini, jelas Setiausaha Agung Persekutuan Perniagaan Sarawak Jonathan Chai.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak telah melakukan pelbagai usaha sebelum ini dan meneruskannya sehingga kini dengan pengumuman Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 5.0 pada Khamis.
“Usaha ini adalah untuk membantu individu dan perniagaan yang terjejas mendapatkan bantuan daripada langkah-langkah yang diumumkan,” katanya kepada Suara Sarawak.
Beliau bagaimanapun berharap Kerajaan Sarawak dapat mewujudkan program subsidi gaji versi Sarawak yang lebih komprehensif untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini.
“Bantuan kewangan langsung seperti itu pasti akan dapat membantu mengekalkan banyak perniagaan untuk terus beroperasi dan menyelamatkan banyak pekerja.
“Ini kerana dalam pakej Permai kerajaan persekutuan, program subsidi gaji hanya merangkumi majikan yang beroperasi di negeri PKP,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Kuching (KCGCCI).
Baru-baru ini Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan pakej BKSS 5.0 bernilai RM405 juta merangkumi 11 langkah untuk mengurangkan beban rakyat Sarawak hingga Jun depan.