SERIAN: Dua pasukan terbilang, X-Movent dan Rimong Crocs United tidak berdepan masalah masuk ke separuh akhir kempen Piala FA Serian 2024.
Ia hasil kejayaan mengenepikan lawan masing-masing pada aksi suku akhir di Kompleks Sukan Serian sebentar tadi.
Barisan pemain Rimong Crocs antara yang mencuri tumpuan apabila membelasah Black Rovers (6-1).
Berbanding kemenangan (2-0) dicatat X-Movent ke atas Bung Muja United.
Presiden dan Timbalan Persatuan Bola Sepak Bahagian Serian (SFA), Phillip Jabu dan MD Haical Abdullah turut hadir menyaksikan perlawanan itu.
“Syabas kepada kedua-dua pasukan terbabit kerana berjaya meraih kemenangan sekali gus mara ke separuh akhir.
“Aksi cukup hebat telah dipersembahkan oleh kesemua pemain pada dua perlawanan tersebut.
“Dan kita menjangkakan perlawanan lebih sengit membabitkan empat lagi pasukan pada petang esok untuk pemburuan dua lagi slot ke separuh akhir,” ujar Phillip kepada Arena Suara Sarawak.
Dua lagi perlawanan suku akhir berlangsung petang esok iaitu pasukan TBS 23 menentang Balai Ringin FC (1:00 petang), diikuti Grace CBF United menentang GKMS (3:00 petang).



