KOTA SAMARAHAN: Pasukan pesara Off-Shore Samarahan, XSPT FC, berhasrat untuk kembali ke arena kejohanan bola sepak kategori veteran selepas beberapa tahun menyepi susulan kecederaan serius yang dialami beberapa pemain utama.
Pengurus pasukan, Musa Hamid, berkata cadangan untuk kembali aktif telah mendapat kata sepakat daripada majoriti pemain asal.
Mereka sekali gus berhasrat untuk kembali semula ke arena kejohanan kategori veteran.
“Para pemain mahu kembali aktif, setelah sekian lama kita menyepi akibat kekurangan pemain, dan kini kita mahu membuat ‘comeback’ di mana barisan pemain selepas ini akan ditambah dengan beberapa pemain baharu,” ujarnya kepada Arena Suara Sarawak.
Skuad XSPT telah memulakan langkah awal mereka dengan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Veteran Binyu FC.
Aksi pemanas badan yang berlangsung di Padang Mini Stadium Samarahan menyaksikan XSPT FC tewas 5-3 di tangan Binyu FC.
Mengulas tentang perlawanan itu, Musa mendedahkan para pemain akan dikerahkan untuk memulakan kempen latihan berkala sebagai persediaan pasukan menjelang tahun 2025.
Kapten Pasukan, Mohd Attaullah@Lobo, berharap edisi baharu pasukan kelak akan lebih mantap dengan komitmen daripada para pemain.
Menurutnya, hasrat untuk kembali aktif tercetus apabila rata-rata pemain lama telah menetap semula di kampung halaman.
“Kami telah berkumpul semula dan saya yakin dengan fahaman daripada bekas-bekas pemain, XSPT akan lebih kukuh seperti sebelumnya.
“Sememangnya impian setiap pasukan dalam pertandingan adalah untuk memenangi perlawanan, begitu juga dengan kami,” ujarnya.
XSPT FC pernah mengungguli kancah bola sepak Sambir dan memenangi Kejohanan Terbuka Bola Sepak Pinggan tiga kali berturut-turut.
Kehadiran semula pasukan ini dijangka bakal memberi saingan dalam kancah liga veteran bola sepak di kawasan Samarahan dan juga Kuching.

