SERIAN: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menghulurkan bantuan kewangan berjumlah RM60,000 dalam Program Ziarah Madani YAPEIM kepada 200 mangsa banjir di daerah Serian.
Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Abdul Kuddus Mohd Naaim, di Dewan Kampung Hulu Serian, hari ini.
Menurut kenyataan YAPEIM, bantuan adalah berbentuk RM200 tunai dan set ‘food bank’ bernilai RM100 bagi setiap seorang.
“Serahan bantuan musibah banjir ini adalah yang pertama sejak bencana berkenaan mula melanda Sarawak pada minggu lalu.
“Selain Serian, daerah lain yang terlibat ialah Miri, Sibu, Samarahan dan Mukah,” beliau memaklumkan dalam satu kenyataan.

Tambah kenyataan itu lagi, YAPEIM sedang mengenal pasti beberapa lokasi lain di Sarawak yang boleh dibantu dengan bantuan tersebut.
Sehubungan itu, bagi tahun 2024, YAPEIM telah menyalurkan sumbangan berjumlah hampir RM400,000 melibatkan lebih 6,000 penerima manfaat di Sarawak.
Manakala, sejak 1985 hingga 2024, jumlah kira-kira RM710 juta telah diagihkan kepada hampir 10 juta penerima di seluruh negara.


