Yayasan PETRONAS sumbang tujuh tempat tidur ICU untuk hospital di Sarawak

KUCHING: Sebagai sebahagian dari tanggungjawab sosial korporat (CSR) Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) menerusi Yayasan PETRONAS, menyumbangkan tujuh tempat tidur unit rawatan rapi (ICU) kepada beberapa hospital di Sarawak dalam usaha membantu proses rawatan pesakit Covid-19.

Dua tempat tidur ICU tersebut dihantar ke Hospital Umum Sarawak Kuching (HUS) sementara selebihnya lagi dihantar ke Hospital Sarikei (1), Hospital Sibu (1), Hospital Bintulu (1) dan Hospital Miri (2).

Sumbangan berjumlah RM20 juta daripada Yayasan PETRONAS tersebut juga meliputi peralatan dan bekalan perubatan sepertimana yang diumumkan pada 23 Mac lalu, bertujuan membantu hospital dan barisan kakitangan kesihatan mengurangkan penyebaran Covid-19 di Malaysia.

Menurut Pengurus Besar PETRONAS Zulaihi Mantali, PETRONAS melakukan inisiatif yang terbaik untuk membantu hospital di Sarawak mengatasi cabaran dalam mengurangkan ancaman Covid-19 dan usaha Ini dilakukan secara berperingkat dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Badan Pengurusan Bencana Nasional (NADMA).

“Ini sejajar dengan komitmen CSR kita untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti.

“Selain peralatan perubatan, PETRONAS juga telah menghulurkan bantuan kepada pihak penguatkuasa dan menyumbangkan barangan keperluan makanan utama termasuk kad hadiah PETRONAS kepada isi rumah yang layak bagi membantu mereka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Terdahulu katanya, PETRONAS dan anak-anak syarikatnya Malaysia LNG Sendirian Berhad (MLNG) dan ASEAN Bintulu Fertilizer Sendirian Berhad (ABF), menyumbangkan barang makanan kepada sejumlah 4,200 isi rumah B40 di Kuching, Samarahan, Serian dan Bintulu.

“Di samping itu, MLNG dan Petronas Carigali Sendirian Berhad- Sarawak Oil, juga turut menyumbangkan topeng muka, pembersih tangan, sarung tangan, air mineral dan ransum kering kepada lebih daripada 1,000 barisan hadapan agensi kesihatan dan penguatkuasaan di Bintulu,” ujarnya.

Difahamkan juga baru-baru ini, PETRONAS, melalui anak syarikatnya, iaitu MLNG, PETRONAS Carigali Sendiran Berhad – Sarawak Oil, PETRONAS Carigali Sendirian Berhad – Sarawak Gas dan ABF, secara kolektif menyumbang peralatan pembersihan dan bahan kimia bernilai RM24,000 kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak bagi mengurangkan penyebaran Covid-19 di kawasan bandar utama di Negeri ini.

Dalam pada itu PETRONAS turut menyumbang 2,000 topeng muka kepada Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) pada 24 April yang lalu untuk digunakan oleh barisan hadapan media yang bertugas sepanjang tempoh PKP.