KUCHING: Nasib malang yang menimpa mangsa kebakaran di Kampung Hilir Bintawa di sini, terus mendapat perhatian ramai.
Insiden menyayat hati yang menyebabkan sejumlah 13 keluarga hilang tempat berteduh itu turut mendapat perhatian pihak Yayasan Sarawak yang turut tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban.

Hadir menghulurkan sumbangan ialah Pengarah Yayasan Sarawak, Mersal Abang Rosli yang turun padang menyampaikan sendiri bantuan kewangan berjumlah RM2,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terkesan.
Sumbangan yang berbentuk cek itu disampaikan pada 1 Februari lalu bertempat di Masjid Darul Al Islam Kampung Bintawa Hilir, di sini.
Terdahulu dalam kejadian pada 5 Januari lepas, sebanyak 44 individu tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman masing-masing musnah dalam kebakaran yang berlaku pada jam 1.31 pagi.
Kebakaran itu mengakibatkan sebanyak tujuh buah rumah musnah sepenuhnya, sementara dua buah rumah lagi terbakar 50 peratus.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

