Yayasan Sarawak juara Liga  Kuching Lea Sports Centre 2019

SKUAD Yayasan Sarawak muncul juara Kejohanan Bola Sepak Liga Kuching Lea Sports Centre (LSC) 2019 setelah menumbangkan pilihan juara, Pantai Damai 4-3 dalam aksi menarik di Stadium Sarawak malam tadi.

Dengan kemenangan itu, Yayasan mengumpul 27 mata dan tidak akan mampu dipintas lagi.

Bekas penyerang Sarawak, Hadera Bakri muncul wira Yayasan setelah menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90. Sebelum itu, Hadera turut menjaringkan gol kedua pasukannya.

Menurut jurulatih Yayasan Sarawak, Firdaus Morshidi, perubahan formasi pada babak kedua menjadi kunci kejayaan.

“Pelan kami pada babak pertama tidak menjadi… dan kami bermula kurang baik. Pandai Damai pula menguasai permainan.

“Namun bermula babak kedua kami cuba memberi tekanan… namun kesilapan individu membawa padah,” ujar Firdaus.

“Setelah beraksi dengan 10 pemain (kad merah) kami tukar formasi kepada 3-4-2 dan kami lebih banyak menyerang. Atas kerjasama semua… maka kami berjaya melakukannya,” katanya.

Pantai Damai bermula cemerlang apabila mendahului 1-0 pada minit ke-20 menerusi Mohd Adif Salim. Namun Yayasan menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-32 melalui Fiqkri Zulfikha Bohari.

Namun, Pantai Damai kembali mendahului 2-1 pada minit ke-59 menerusi Wan Badzreen Wan Yusuf. Mereka terus hebat apabila menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-66 melalui sepakan penalti Awang Kamaruddin Awang Bohan.

Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat Yayasan untuk bangkit semula dan usaha mereka berhasil apabila merapatkan jurang 2-3 pada minit ke-74 melalui Hadera Bakeri.

Sembilan minit kemudian Yayasan menyamakan kedudukan 3-3 menerusi bintang Kuching FA, Dzulazkan Ibrahim.
Ketika saingan seakan-akan berakhir dengan seri 3-3, penyerang utama Yayasan, Hadera Bakri meledakkan ‘gol juara’ pada minit ke-90 untuk menjadikan kedudukan 4-3.

Bagi Pantai Damai kekalahan tersebut cukup memeritkan. Mereka hanya perlu seri untuk membuka peluang juara, kerana masih ada baki satu perlawanan.

Bagi Yayasan pula, mereka tiada pilihan, kecuali menang jika mahu juara dan mereka berjaya merealisasikannya.

Suara Sarawak