KUCHING: Sempena sambutan ulang tahun ke-60, Yayasan Tzu Chi Pejabat Perhubungan Kuching menganjurkan pelbagai acara sepanjang Mei ini termasuk Ziarah Sujud dan upacara Mandi Buddha berskala besar yang dijangka menghimpunkan ribuan peserta sebagai simbol penyatuan nilai kasih sayang.
Sebagai simbolik kepulangan sambutan ke ruang terbuka selepas beberapa tahun, upacara Mandi Buddha akan diadakan di Padang Jubli Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) pada Ahad, 11 Mei bersempena dengan Hari Wesak, Hari Ibu dan Hari Tzu Chi Sedunia.
Yayasan Taiwan Buddhist Tzu Chi Malaysia menerusi kenyataan memaklumkan, upacara utama dengan formasi khas dijadual berlangsung dari jam 5.30 petang hingga 6.30 petang, diikuti sesi mandi Buddha sehingga jam 8 malam.
Antara tarikan utama acara tersebut melibatkan pembentukan formasi 2,000 peserta yang akan membentuk elemen TC60 (Tzu Chi 60) dan KCH30 (Kuching 30).
Menariknya, peserta tidak perlu menjalani latihan awal, sebaliknya hanya diminta memakai pakaian polos berwarna putih atau hitam serta hadir lebih awal bagi mengikuti arahan petugas di lokasi, menurut kenyataan itu hari ini.
Dalam pada itu, sebagai persediaan menjayakan acara berkenaan, sukarelawan Tzu Chi telah digerakkan ke pelbagai kawasan termasuk Betong, Sri Aman dan Lundu bagi menjemput sami-sami serta rakan Dharma untuk bersama-sama memimpin upacara doa.
Usaha tersebut turut diperluas ke sekolah rendah dan menengah dengan tujuan memupuk kesedaran alam sekitar serta nilai kasih sayang terhadap ibu bapa, selain menggalakkan sambutan Hari Ibu melalui pendekatan yang lebih bermakna.
Memulakan sambutan ulang tahun berkenaan, program Ziarah Sujud akan diadakan pada 1 Mei ini bersempena Hari Pekerja di Pejabat Perhubungan Tzu Chi Kuching bermula jam 6 hingga 7 pagi.
Pengasas Tzu Chi, Cheng Yen, pernah menjelaskan bahawa amalan “tiga langkah satu sujud” merupakan latihan kerohanian yang menekankan sifat tawaduk, pengawalan emosi serta pembinaan kekuatan dalaman.
Peserta bagi program tersebut disaran hadir seawal jam 5.30 pagi dengan berpakaian sopan, manakala sarapan vegetarian akan disediakan selepas selesai ziarah.
Terdahulu, sejak ditubuhkan dengan sumbangan kecil melalui “tabung buluh”, Tzu Chi kini berkembang menjadi sebuah organisasi kemanusiaan bertaraf global.
Melalui penganjuran program sepanjang Mei ini, Tzu Chi Kuching berharap dapat memupuk lebih banyak nilai kasih sejagat dalam masyarakat sekali gus mendorong amalan kebaikan secara berterusan.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai formasi, sesi terbuka atau menjadi sukarelawan digalakkan mendaftar melalui kod QR yang disediakan atau menghubungi Pejabat Tzu Chi Kuching di talian 082-344706 atau 016-8864706.

