ARTIKEL

Abang Johari ketika berucap sempena Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang Bahagian Miri 2026 di Stadium Miri, hari ini. FOTO: MOHD ALIF NONI

YSISS di Beraya dijangka dibina bermula tahun depan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Pembinaan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) di Beraya, di sini dijangka bermula tahun hadapan sebagai sebahagian usaha memperkukuh pembangunan strategik di kawasan berkenaan.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata lokasi projek berkenaan telah dikenal pasti dengan pelan induk serta pembangunan kawasan komersial di Beraya.

Abang Johari tiba di Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang Bahagian Miri 2026. FOTO: MOHD ALIF NONI

“Kita akan membangunkan sekolah antarabangsa, insya-Allah tahun hadapan. Lokasinya sudah dikenal pasti, termasuk pelan induk dan kawasan komersial di Beraya, selain pembinaan sekolah antarabangsa dan pusat konvensyen.

“Ini akan menjadi pemangkin untuk melonjakkan pembangunan di daerah Subis yang turut menempatkan Tapak Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang Bahagian Miri 2026 di Stadium Miri, hari ini.

Sarawak bakal memiliki lima YSISS dengan pembinaan di Miri dan Bintulu
dijadualkan siap pada 2027, selain
dua YSISS sedia ada di Kuching
termasuk sebuah lagi di Sibu.

Mengulas lanjut mengenai pembangunan di Beraya, beliau memaklumkan inisiatif tersebut akan terus memperkasakan Bahagian Miri, khususnya kawasan pedalaman (hinterland).

“Di Miri, kita mempunyai dua taman negara bertaraf dunia iaitu Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Niah – kawasan ini tidak boleh disentuh sewenang-wenangnya kerana tertakluk kepada syarat sebagai tapak UNESCO.

“Justeru, kita perlu bijak dalam menyediakan kemudahan termasuk kepada pelancong, di samping memastikan pembangunan taman negara terus terpelihara,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa susulan pengiktirafan tersebut, pihaknya perlu mematuhi segala syarat yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, kita masih memerlukan pusat sokongan yang mampu merangsang kegiatan ekonomi di kawasan berkenaan.

“Sehubungan itu, kita membuat keputusan untuk membangunkan Beraya dengan dilengkapi kawasan komersial serta pusat konvensyen berskala kecil bagi menampung keperluan perbincangan berkaitan biodiversiti dan pelancongan.

“Selain itu, kita juga akan menempatkan sekolah antarabangsa di Beraya yang berhampiran dengan kawasan Niah. Ini akan menggalakkan interaksi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di kawasan tersebut,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU