ZA’BA di Tanah Melayu dan Hamka di Indonesia jarang disebut dalam nafas yang sama, walaupun keduanya menulis pada zaman yang hampir serupa iaitu ketika dunia Melayu bergelut dengan kesan penjajahan dan kepincangan dalam masyarakatnya sendiri.
Kritikan mereka menyentuh hampir semuа ruang kehidupan bangsa seperti politik, ekonomi, pendidikan, budaya, bahasa, malah cara berfikir masyarakat itu sendiri (Achíe, 2004). Za’ba lebih dikenali sebagai pejuang bahasa, manakala Hamka sebagai ulama dan sasterawan.
Namun jika diteliti, kedua-duanya sebenarnya menuju arah yang sama. Kedua-duanya mahu melihat bangsa Melayu-Islam bangkit sebagai bangsa yang berilmu dan tidak terpisah daripada pegangan agamanya.
Ada sebahnya kedua-dua tokoh ini wajar diletakkan bersebelahan. Kajian terhadap Za’ba menunjukkan beliau bukan calang-calang ahli bahasa. Kritikannya turut menyentuh struktur sosial dan cara berfikir orang Melayu (Achíe, 2004). Hamka pula, walaupun dikenali sebagai mufasir, sebenarnya mewarisi satu rantaian pemikir pembaharuan tafsir yang lebih besar daripada dirinya sendiri (Syafii, 2014).
Dua orang yang datang daripada dua bidang berbeza ini sebenarnya sedang berbicara tentang perkara yang sama iaitu bagaimana sesuatu bangsa boleh keluar daripada kelemahan pemikiran, sama ada melalui bahasa yang tersusun atau tafsiran agama yang lebih terbuka kepada zaman.
Karya Za’ba yang paling dikenang dalam bidang persuratan Melayu ialah Ilmu Mengarang Melayu iaitu sebuah buku yang memberi panduan sistematik tentang seni mengarang dan turut memberi kesan besar kepada perkembangan kesusasteraan Melayu (Osman, 2004).
Ketenangan dalam bidang bahasa dan sastera akhirnya membawa beliau menjadi ketua Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya. Di sanalah beliau turut terlibat bersama Profesor DiRaja Ungku Aziz dalam usaha membentuk persekutuan bahasa Melayu pada Januari 1955, satu pencapaian yang bermakna kerana beliau adalah antara anak Melayu pertama yang memegang jawatan sebesar itu, mengkaji bahasa dan sastera bangsanya sendiri (Amir, 2021).
Tetapi Za’ba bukan sekadar orang bahasa. Kajian mendapati kritikannya merentasi banyak bidang seperti politik, ekonomi, pendidikan, budaya, dan cara berfikir masyarakat Melayu. Antara yang paling ditekankannya ialah fahaman ketiduran atau fatalisme, yang pada pandangannya turut menyumbang kepada kelemahan kemajuan dunia Melayu (Achíe, 2004).
Di sinilah kelihatan bahawa bahasa dan sastera baginya bukan tujuan akhir, tetapi alat untuk menyampaikan kritikan dan mendorong pembaharuan yang lebih besar.
Kalau Za’ba dikenali kerana bahasa, Hamka dikenali kerana Tafsir Al-Azhar iaitu karyanya yang menjadi wadah utama untuk menyampaikan pemikiran dalam pelbagai bidang ilmu Islam. Satu kajian terhadap corak tasawuf dalam tafsir ini mendapati Hamka lebih cenderung kepada tasawuf akhlaqi, iaitu penyucian diri melalui tahap takhalli, tahalli dan tajalli, bukan sebagai jalan untuk lari daripada dunia, tetapi sebagai jalan untuk mencapai kesempurnaan hidup dan kebahagiaan yang sebenar (Masrur, 2017). Tasawuf, dalam tangan Hamka, menjadi sesuatu yang praktikal, iaitu alat membentuk disiplin diri, bukan amalan simbolik yang terasing daripada kehidupan seharian.
Menariknya, penulisan Tafsir Al-Azhar didapati mempunyai kaitan rapat dengan gerakan pembaharuan tafsir yang dipelopori Muhammad Abduh menerusi Tafsir al-Manar, dan banyak gagasan Abduh turut diserap Hamka dalam perumusan tafsirnya sendiri (Syafii, 2014).
Ini bermakna, Hamka bukan sekadar mewarisi ilmu tafsir klasik, tetapi turut menyumbang satu rantaian pemikiran pembaharuan Islam yang jauh lebih luas daripada Indonesia semata-mata.
Kajian lain pula menyoroti sisi lain Tafsir Al-Azhar, iaitu bagaimana Hamka membincangkan keadilan sosial, kesetaraan gender, dan kepelbagaian agama, bahawa semua manusia setara dari segi hak dan kedudukan, lelaki dan perempuan tidak dibezakan dan sudut kemanusiaan, dan kepelbagaian agama menuntut sikap toleransi (Aziz et al., 2020).
Kalua dititik garis lurus antara Za’ba dengan Hamka, ada beberapa perkara yang menyatukan mereka. Kedua-duanya menulis dalam skala besar. Za’ba bukan sahaja menulis tentang bahasa dan sastera di satu pihak, karya tafsirnya terbilang di pihak lain. Ia menjadikan penulisan itu sendiri sebagai cara untuk mengkritik serta memperbaiki masyarakat (Osman, 2004; Masrur, 2017).
Ini bukan kebetulan kerana pada zaman itu, akhbar dan buku adalah ruang paling berkesan untuk menyampaikan maklumat kepada khalayak ramai, dan kedua-dua tokoh ini memangnya memahami perkara itu dengan baik.
Za’ba berani mempersoalkan fahaman ketiduran dalam masyarakatnya sendiri, kerana pada pandangannya sikap itulah yang menghambat kemajuan orang Melayu (Achíe, 2004). Hamka pun begitu. Beliau turut mengkritik tafsiran agama yang, menurutnya, sudah tidak lagi sejajar dengan tuntutan keadaan sosial zaman moden (Aziz et al., 2020). Kedua-duanya sanggup menyentuh perkara yang biasanya diletakkan orang, iaitu kelemahan dalam bangsa dan agama mereka sendiri.
Ada satu lagi persamaan yang tidak kurang pentingnya. Za’ba turut menghubungkan pemikirannya dengan usaha membentuk dasar bahasa kebangsaan (Amir, 2021), manakala Hamka menyumbang satu rantaian pembaharuan tafsir yang sudah bermula jauh sebelum zamannya, dipelopori tokoh seperti Muhammad Abduh (Syafii, 2014).
Kedua-duanya, dengan cara masing-masing, membawa pemikiran tempatan untuk berbicara dengan wacana yang lebih luas. Di sinilah tergambar bahawa walaupun Za’ba dan Hamka datang daripada latar bidang dan bahasa yang berbeza, mereka sebenarnya berkongsi satu semangat yang sama, iaitu keberanian untuk berfikir kritis demi kebangkan bangsa dan agama sendiri.
Pemikiran Hamka tentang keadilan sosial, kesetaraan gender dan kepelbagaian agama masih relevan hari ini, kerana ia berakar daripada ajaran Islam yang mengambil berat tentang nilai kemanusiaan sejagat. Ini bukan sesuatu yang terikat kepada satu zaman sahaja (Aziz et al., 2020).
Begitu juga usaha Za’ba menyusun sistem bahasa dan sastera Melayu, ia kekal menjadi asas penting untuk memastikan bahasa Melayu terus berfungsi sebagai wadah ilmu, bukan sekadar bahasa pertuturan harian (Amir, 2021; Osman, 2004).
Bahasa yang tersusun rapi di satu pihak, dan tafsiran agama yang terbuka namun berpegang pada nilai teras Islam di pihak lain. Jika dua perkara ini digabungkan maka akan menjadi asas yang cukup kukuh untuk menghadapi persoalan jati diri pada zaman yang serba global ini.
Za’ba dan Hamka bukan sekadar nama dalam buku sejarah. Mereka mewakili satu cara berfikir yang menyatukan bahasa, sastera dan agama sebagai asas membina tamadun bangsa iaitu sesuatu yang pada zaman mereka dianggap radikal, kerana ramai yang lebih selesa memisahkan urusan dunia daripada urusan akhirat, dan urusan bahasa daripada urusan bangsa.
Za’ba menunjukkan bahawa sebuah bangsa tidak boleh maju jika bahasanya sendiri dipandang rendah. Hamka pula menunjukkan bahawa agama, jika difahami dengan betul, bukan penghalang kepada kemajuan tetapi menjadi pendorong. Dua pendirian ini, walaupun datang daripada dua tempat dan dua bidang yang berbeza, sebenarnya menjawab persoalan yang sama tentang bagaimana sebuah bangsa boleh berdiri dengan maruahnya sendiri.
Kajian akademik terhadap kedua-duanya membuktikan sesuatu yang menarik iaitu sumbangan mereka tidak berhenti sebagai catatan sejarah, tetapi terus dikaji kerana masih relevan dengan persoalan bahasa, keadilan sosial dan pemikiran keagamaan hari ini (Amir, 2021; Aziz et al., 2020).
Ini bukan kerana nostalgia semata-mata, tetapi kerana persoalan yang mereka bangkitkan tentang bahasa ilmu, tentang keadilan, tentang bagaimana memahami agama dalam dunia yang berubah masih belum selesai dijawab.
Pada hemat saya sebagai penulis muda, di sinilah letaknya kepentingan sebenar warisan mereka yakni bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk dijadikan cermin bagi generasi separa saya yang turut mencari jalan mengimbangi kemodenan dengan jati diri.
Itulah sebabnya Za’ba dan Hamka masih layak disebut sebagai dua tonggak pemikiran Melayu-Islam, bukan sahaja pada zaman mereka, tetapi juga pada zaman kita.



