PELAKON dan selebriti sensasi, Zarina Anjoulie, yang lebih mesra dipanggil Anju, kembali mencuri perhatian apabila mendakwa penyanyi rap yang sedang meningkat naik, Saixse atau nama sebenar, Saiful Gabbir, mencuri kad bank miliknya.
Menerusi hantaran Instagram (IG), Anju, atau nama lengkapnya Zarina Anjoulie Lavocah Mohd. Fahizul, 37, secara terbuka menggesa penyanyi lagu Malam Pagi itu supaya mengembalikan kad bank tersebut setelah lebih dua bulan dipegang oleh Saixse.
Tidak hanya itu, Anju memberitahu bahawa dia cuba untuk berbincang, namun penyanyi tersebut tidak mempedulikannya.
Pada awalnya, mereka berjumpa atas urusan kerja. Anju sepatutnya berjumpa Saixse bersama-sama kawannya, Jab.
Namun, mereka tidak dapat berjumpa kerana Anju kurang sihat.
Disebabkan itu, Anju mengajak mereka untuk makan malam bersama pada hari yang lain.
Selepas berjumpa, Saixse berniat meminta Anju membantu mencari penaja atau menjadi penaja kepada muzik video (MV) yang akan datang.
Saixse meminta Anju untuk menaja sebanyak RM45,000, namun selepas perbincangan, mereka bersetuju pada harga RM10,000.
Seterusnya, Anju memberi kad bank miliknya kepada Saixse untuk membayar makan malam tersebut secara pay wave.
Akhirnya, Anju meminta semula kad bank miliknya selepas membuat keputusan untuk tidak meneruskan kerjasama bersama Saixse.
Akan tetapi, Saixse enggan memulangkan kad bank tersebut kepada Anju selama lebih dua bulan.



