ARTIKEL

Ziarah Prihatin santuni artis veteran

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tanpa adanya golongan pelopor industri hiburan tanah air suatu ketika dahulu, generasi kini mungkin tidak mengenali perkembangan industri kreatif negara sedia ada kini.

Menurut Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) Zakaria Abdul Hamid, pihaknya kini komited menggerakkan kumpulan khas bagi menjalankan program di lapangan melalui Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri, Finas dan antaranya ialah melalui Program Ziarah Finas Prihatin.

“Pasukan ini akan diketuai oleh ahli lembaga pengarah Finas, Datuk Norhayati Mohd Ismail yang juga bekas ketua pengarah RTM.

Beliau akan menubuhkan pasukan di Sarawak untuk menggerakkan program kebajikan untuk membantu artis tempatan.

“Begitu juga di Sabah, akan ada wakil yang menguruskannya. Bulan depan kita teruskan program ini ke Sabah untuk melihat rakan veteran kita di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada lawatan siri ketiga ke kediaman salah seorang penyanyi veteran Safar Ghafar di Taman Sukma di sini, semalam.

Jelasnya, melalui program ziarah berkenaan, ia dapat mengingatkan generasi muda bahawa sebelum menjejakkan kaki ke industri kreatif, mereka perlu tahu bahawa adanya golongan terdahulu yang mempelopori industri ini.

“Program Ziarah Finas Prihatin memasuki siri ketiga. Siri pertama dan kedua kita laksanakan di Semenanjung Malaysia bersama-sama ahli lembaga pengarah Finas Datuk Seri Eizlan Yusof.

“Kita mahu ingatkan masyarakat tahu bahawa perjuangan penggiat seni veteran tidak pernah Finas lupakan.

“Kita mahu apabila diadakan program menziarah sebegini, kita dapat memberi semangat dan dorongan untuk mereka untuk terus berjuang dalam industri kreatif selagi mereka mampu, kita akan terus bantu,” katanya.

Jelasnya lagi, di samping penggiat seni veteran, Finas juga tampil menziarahi beberapa artis yang kini uzur, terlantar, tidak dapat bergerak untuk mendekati dan mengingati perjuangan mereka dalam industri.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif Finas Ahmad Idham Ahmad Nadzri turut menjelaskan bahawa Finas sehingga kini memperuntukkan hampir RM200,000 untuk dua program sebelum ini bagi membantu persatuan dan artis individu.

“Kiita perlu bantu untuk persatuan yang memerlukan termasuk individu perseorangan.

“Bagi program ini, beberapa siri lagi akan kita teruskan dan kita lihat kepada keperluan.

Pada hari ini, kita lihat ramai yang terkesan dengan PKP.

“Kita mahu bantu penggiat seni yang khasnya mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan uzur,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU