LUNDU: Kunjungan ke rumah terbuka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu sempena Tahun Baharu Cina bukan sekadar amalan perayaan, malah menjadi wadah memperkukuh hubungan antara pemimpin dan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, tradisi kunjung-mengunjung yang diamalkan setiap kali musim perayaan menjadi platform interaksi secara langsung antara wakil rakyat dan masyarakat.

“Ziarah bukan sekadar memenuhi tuntutan budaya, tetapi menjadi ruang untuk mendengar sendiri suara rakyat, memahami keperluan komuniti serta memperkukuh jalinan kepercayaan antara kepimpinan dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, kesinambungan amalan sedemikian mencerminkan kematangan sosial rakyat Sarawak yang menjadikan nilai hormat-menghormati dan kebersamaan sebagai asas keharmonian negeri.
Program Ziarah Tahun Baharu Cina N3 Tanjong Datu 2026 menyerlahkan keunikan keharmonian masyarakat majmuk Sarawak yang terjalin kukuh merentasi kaum dan latar belakang.
Program tahunan itu menyaksikan kunjungan ke lima kediaman pemimpin masyarakat Cina setempat termasuk Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tanjong Datu, Goh Chin Seng.
Turut dikunjungi ialah Pemanca Chin Kian Ming, Penghulu Khiew Nam Fa, Kapitan Bong Chai Chin dan Kapitan Jee Hiong Chiew, sekali gus mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan institusi kepimpinan masyarakat dalam memelihara perpaduan di peringkat akar umbi.
Hadir sama memeriahkan kunjungan rumah terbuka ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri; mantan ADUN Tanjong Datu, Datuk Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Datuk Abang Draup; serta Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail.




