KUCHING: Semangat juang luar biasa dipamerkan ZZ United apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum menewaskan Landas FC 4-2 pada aksi separuh akhir Piala Presiden KDFA 2026, sekali gus mengesahkan tempat ke pentas final.
Kemenangan dramatik itu menyaksikan ZZ United membalikkan keadaan apabila Landas FC terlebih dahulu mendahului 2-0, sebelum pasukan tersebut meledak empat gol berturut-turut untuk meraih kemenangan bergaya di Padang D, Kompleks Sukan Negeri.
Pengurus pasukan ZZ United, Zaidol Zainal berkata kebangkitan pasukannya bermula apabila pemain kembali mematuhi struktur taktikal yang dirancang serta bermain dengan lebih tenang.

Menurutnya, jaringan pertama berjaya mengubah momentum perlawanan dan meningkatkan keyakinan pemain untuk terus memberi tekanan kepada lawan.
“Pemain menunjukkan disiplin dan komitmen yang tinggi sepanjang baki perlawanan.
Gol pertama menjadi pemangkin kepada kebangkitan pasukan sehingga berjaya menukar kedudukan daripada ketinggalan kepada kemenangan,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak, di sini, semalam.

Beliau mengakui Landas FC memulakan perlawanan dengan cemerlang dan layak mendahului, namun pasukannya berjaya mengenal pasti beberapa ruang yang boleh dimanfaatkan terutama di bahagian tengah serta transisi pertahanan lawan.
Mengulas mengenai aksi final pada 15 Ogos nanti, Zaidol berkata kemenangan tersebut memberi suntikan moral kepada pasukan serta membuktikan kekuatan mental pemain ketika berdepan situasi sukar.
Beliau berkata pasukan kejurulatihan serta unit analisis mula melakukan penilaian terperinci ke atas Yayasan Sarawak yang mara ke final selepas mencatat kemenangan 8-0 ke atas TBS 23.
ZZ United dijadual menentang Yayasan Sarawak dalam perlawanan akhir Piala Presiden KDFA 2026, 15 Ogos ini, pada 3.30 petang di Padang D, Kompleks Sukan Negeri.



