KOTA SAMARAHAN: Pasukan ZZ United muncul juara Karnival Futsal Veteran Samarahan 2023 selepas menumpaskan Losso FC (3-1) pada aksi final yang berlangsung di Stadium Tertutup Samarahan hujung minggu lalu.
Kejayaan itu membolehkan pemain pasukan ZZ United membawa pulang hadiah wang tunai RM700, piala beserta satu set jersi sukan.
Manakala, wang tunai RM400 termasuk piala dan satu set jersi sukan diterima pemain pasukan Losso FC selaku naib juara.
Tempat ketiga milik pasukan VE3 yang berjaya menumpaskan SBM FC (3-2) menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-duanya terikat tanpa jaringan.
Kemenangan tersebut membolehkan pemain VE3 membawa pulang hadiah wang tunai RM200, piala dan satu set jersi sukan.
Hadiah untuk tempat keempat pula ialah wang tunai RM100 serta barangan sukan. Karnival esidi kedua tersebut dianjur oleh Kelab V-Foss FC.
Pengerusi Karnival, Abdul Muhtalib Tagak mengucap terima kasih kepada semua pihak atas sokongan diberikan dalam menjayakan penganjuran karnival berkenaan.
“Terima kasih kepada semua pihak atas sokongan diberikan dalam menjayakan penganjuran karnival kali ini,” katanya.