Cota besi, bukannya parang

KUCHING: Polis merampas satu cota besi dan satu tukul serta menahan dua lelaki yang memiliki senjata berkenaan, yang dipercayai digunakan mereka ketika menangkap dua suspek kes tipu menang loteri di MJC Batu Kawa, Selasa lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar berkata kedua-dua suspek ditahan selepas bersama 10 lagi individu termasuk dua wanita tampil memberi keterangan berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan sekitar jam 2.30 petang.

Beliau menambah kesemua mereka mengaku berada di tempat kejadian dan dua daripada mereka mengaku memegang senjata merbahaya.

“Dua lelaki yang memegang senjata merbahaya itu telah ditangkap.

“Mereka berumur 38 dan 22 tahun. Satu cota besi dan satu tukul telah dirampas daripada mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dev menambah siasatan mendapati tidak ada parang yang digunakan semasa insiden.

“Suspek sebenarnya memegang cota besi dan bukannya parang seperti yang kelihatan dalam gambar yang diviralkan,” jelasnya.

Beliau menegaskan walaupun undang-undang memperuntukkan tangkapan oleh orang awam, orang awam tidak boleh bertindak melampau semasa membuat tangkapan seperti menggunakan senjata merbahaya atau mendatangkan kecederaan kepada penjenayah.

Katanya orang awam boleh didakwa sekiranya melampaui batasan undang-undang ketika melaksanakan tangkapan awam.

Dev berkata kes disiasat sebagai ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Kedua-dua suspek akan direman untuk siasatan lanjut.

Cota besi yang dirampas menyerupai parang, yang digunakan suspek ketika menangkap dua suspek kes tipu menang loteri di MJC Batu Kawa, Selasa lalu.

 

Cota besi yang dirampas menyerupai parang, yang digunakan suspek ketika menangkap dua suspek kes tipu menang loteri di MJC Batu Kawa, Selasa lalu.