KUCHING: Pelumba Mercedes AMG-Petronas, Andrea Kimi Antonelli hanya memerlukan penamat dalam kelompok sembilan terbaik pada Grand Prix Mexico, Ahad ini untuk mencipta sejarah sebagai juara dunia termuda Formula Satu (F1).
Pelumba Itali berusia 20 tahun itu kini mendahului kejuaraan dunia dengan kelebihan 123 mata mengatasi rakan sepasukan, George Russell, selepas meraih kemenangan kesembilan musim ini pada Grand Prix Amerika Syarikat, minggu lalu.
Kejayaan di Mexico bakal melengkapkan satu lagi pencapaian luar biasa Kimi yang sudah memegang lima rekod usia termuda dalam sejarah F1, termasuk pendahulu perlumbaan, pencatat masa terpantas dan pemegang petak utama.
Malah, beliau turut mencipta sejarah sebagai pelumba termuda yang meraih Grand Slam tiga pencapaian serentak, iaitu petak utama, kemenangan dan pusingan terpantas, selain menjadi pendahulu kejuaraan dunia termuda.
Kimi sebelum ini memecahkan rekod petak utama termuda milik Sebastian Vettel ketika sesi kelayakan Grand Prix China pada Mac lalu, sebelum meraih kemenangan sulungnya sehari kemudian.
Beliau kemudian muncul pendahulu kejuaraan dunia termuda selepas memenangi Grand Prix Jepun, sekali gus mengatasi rekod yang pernah dipegang Lewis Hamilton sejak 2007.
Bagaimanapun, persiapan Kimi menjelang perlumbaan penting di Litar Autodromo Hermanos Rodriguez sedikit terganggu selepas dilaporkan mengalami jangkitan virus, semalam.
Menurut kenyataan pasukan Mercedes membenarkan pelumba muda itu berehat dan tidak menghadiri sesi bersama media pada Khamis sebagai langkah berjaga-jaga, namun dijangka kembali menjalani aktiviti perlumbaan pada Jumaat.
Sekiranya menamatkan perlumbaan sekurang-kurangnya di tempat kesembilan, Kimi akan memastikan gelaran dunia menjadi miliknya tanpa bergantung kepada keputusan pencabar terdekat.
Pencapaian itu bakal mengatasi rekod Vettel yang dinobatkan sebagai juara dunia termuda pada usia 23 tahun ketika bersama Red Bull Racing pada musim 2010.
Kimi juga berpeluang menjadi pelumba Itali pertama menjuarai kejuaraan dunia F1 sejak Alberto Ascari melakukannya pada 1953.
Grand Prix Mexico yang berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November ini sekali gus menjadi pentas penting buat Kimi untuk melengkapkan rekod keenamnya dan mengukuhkan kedudukan sebagai antara bakat muda paling luar biasa dalam sejarah F1.






