Lelaki maut dipercayai ditembak secara tidak sengaja

KUCHING: Seorang lelaki maut dipercayai ditembak secara tidak sengaja oleh rakannya ketika memburu di hutan Kampung Sadir, semalam.

Wilco William, 35, meninggal dunia dipercayai terkena tembakan di bahagian perut.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian sekitar 6.50 petang oleh Ketua Kampung Sadir, Tom Sagu sebelum bergegas ke kawasan kejadian bagi siasatan lanjut.

“Laporan awal mendapati mangsa bersama rakannya pergi memburu di hutan Kampung Sadir dengan menggunakan selaras senapang Shot Gun jenama Stevens milik suspek.

“Ketika berburu, rakannya secara tidak sengaja tertembak mangsa di bahagian perut.

“Mayat mangsa kini berada di rumah bapanya dan akan dibawa ke Hospital Umum Sarawak bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Aidil, rakan mangsa yang tidak mempunyai rekod masalah lampau telah mengaku menembak mangsa ketika memburu.

“Suspek yang mengaku bersalah telah dibawa ke Balai Polis Tapah oleh Ketua Kampung Sadir sendiri.

“Siasatan lanjut mendapati lesen senjata api yang digunakan untuk memburu atas nama isteri suspek,” ujarnya.

Jelas beliau, kes disiasat dibawah Seksyen 304A KK/8(a) dan 39 Akta Senjata 1960.

Mangsa mati akibat mengalami kecederaan serius akibat tembakan di bahagian perut