SPAOH: Segala kemudahan dan pembangunan strategik di Spaoh perlu dimanfaatkan sepenuhnya pemimpin masyarakat serta penduduk setempat bagi meneroka peluang baharu dan melaksanakan lebih banyak program berimpak tinggi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Spaoh mempunyai beberapa aset pembangunan penting seperti Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling, Taman Agro Bebuling serta Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Bebuling yang berpotensi merancakkan pertumbuhan ekonomi kawasan itu.
Kemudahan berkenaan perlu dimanfaatkan secara strategik bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi dan memastikan pembangunan Spaoh terus berkembang mengikut keperluan semasa.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam sempena Pesta Tanglung 2026 anjuran Lembaga Pengurus Sekolah dan Kelab Kebajikan dan Rekreasi Staf Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Spaoh di Dewan Masyarakat Spaoh, malam tadi.
Uggah berkata, pembinaan Jambatan Paku yang menghubungkan Daerah Kecil Spaoh dengan Betong turut memperkukuh jaringan perhubungan di kawasan berkenaan.
Kemudahan itu bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah menyokong aktiviti ekonomi serta membuka ruang kepada pembangunan lebih menyeluruh.
Terdahulu, Uggah menyertai perarakan tanglung bersama kira-kira 500 penduduk setempat sebelum menyempurnakan upacara penyalaan tanglung di perkarangan Tebingan Pasar Spaoh sempena Pesta Tanglung 2026.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama semua pihak dalam menjayakan program dirancang supaya penganjurannya bukan sahaja menarik pengunjung, malah memberikan manfaat kepada komuniti setempat.
Menurutnya, perpaduan masyarakat berbilang kaum merupakan asas penting yang perlu terus dipelihara bagi memastikan agenda pembangunan Sarawak dapat dilaksanakan secara berterusan.






