HANOI: Wanita yang melahirkan dua orang anak sebelum usia 35 tahun layak menerima bayaran sekali sahaja sebanyak 4 juta dong Vietnam (VND) (US$154) mulai 2027, menurut dasar yang diluluskan Majlis Rakyat bandar raya itu.
Penerima perlu berdaftar sebagai penduduk tetap atau sementara di ibu negara Vietnam itu sekurang-kurangnya enam bulan.
Kelayakan ditentukan berdasarkan jumlah anak yang dilahirkan seorang wanita, manakala umurnya dikira pada tarikh dia bersalin, bukan tarikh kelahiran didaftarkan seperti dilapor Bernama.
Jawatankuasa Rakyat Perbandaran menjelaskan bahawa kadar kesuburan Hanoi kekal di bawah paras penggantian, iaitu 1.88 anak bagi setiap wanita pada 2023, 1.86 pada 2024 dan 1.87 pada 2025.
Bandar raya itu menganggarkan kira-kira 15,000 wanita layak setiap tahun dengan peruntukan sekitar VND60 bilion (US$2.33 juta), dan bayaran itu hanya membantu sebahagian kos membesarkan anak.






