KUCHING: Seorang anak Sarawak berhasrat menyumbangkan kereta Rolls-Royce antik miliknya kepada Muzium Sarawak bagi membantu memelihara warisan sejarah dan kebudayaan negeri ini.
Cadangan itu bertujuan menjadikan kenderaan klasik berkenaan sebahagian daripada koleksi warisan negeri supaya dapat dipelihara dan dihargai oleh generasi akan datang.
Bagaimanapun, pemiliknya masih menunggu maklum balas pihak muzium berhubung tawaran sumbangan itu.
Sekiranya pihak muzium tidak dapat menerima sumbangan berkenaan, kereta itu akan ditawarkan untuk jualan menerusi lelongan awam.
Hasil lelongan akan disalurkan kepada Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Cawangan Sarawak bagi menyokong program pencegahan jenayah, pembangunan belia dan keselamatan komuniti.
Menurut pemiliknya, sama ada kenderaan itu menjadi sebahagian daripada koleksi Muzium Sarawak atau dijual menerusi lelongan awam, matlamat utamanya adalah untuk memberikan sumbangan yang berkekalan.
“Sekiranya dilelong, saya berharap hasilnya dapat dimanfaatkan bagi menyokong usaha pencegahan jenayah dan keselamatan komuniti di Sarawak,” katanya.
Maklumat lanjut termasuk sejarah kenderaan, spesifikasi serta cadangan urusan sumbangan atau lelongan akan diumumkan selepas pihak muzium memberikan maklum balas dan tindakan selanjutnya dimuktamadkan.





