KUCHING: Ekspo E-Sukan Sarawak 2026 (SAREX26) dijangka melepasi sasaran penyertaan 800 peserta apabila 600 orang sudah mengesahkan penyertaan menjelang penganjurannya pada 13 hingga 15 November ini.
Ekspo yang menawarkan hadiah keseluruhan RM50,000 itu mempertandingkan enam kategori, iaitu PUBG MOBILE Terbuka, Mobile Legends: Bang Bang Lelaki dan Wanita, Simulasi Perlumbaan Assetto Corsa Terbuka, Tekken 8 Terbuka serta eFootball Terbuka.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jumlah penyertaan itu mencerminkan peningkatan minat terhadap sukan elektronik dalam kalangan belia.

Menurutnya, edisi keempat SAREX26 yang berlangsung di Perkampungan Sukan, Petra Jaya berpotensi menarik lebih ramai peserta apabila maklumat mengenainya tersebar lebih meluas.
“Setakat ini, 600 peserta sudah mendaftar dan saya percaya jumlah itu akan mencapai sasaran 800 orang apabila maklumat kejohanan ini mendapat liputan lebih meluas.
“Saya tidak terkejut sekiranya jumlah penyertaan melebihi 800 orang kerana maklumat mengenai acara seperti ini tersebar dengan sangat pantas dalam kalangan peminat e-sukan,” katanya pada sidang media pengumuman SAREX26 di sini, semalam.

Selain pertandingan, SAREX26 turut memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran profesional menerusi Bengkel Pensijilan Petugas E-Sukan pada 13 November yang menyasarkan kira-kira 100 peserta.
Bengkel itu bertujuan memberikan pengetahuan berkaitan penyediaan kejohanan, pengendalian pertandingan, keperluan teknikal, pentadbiran, penyiaran dan pengurusan acara.
“Pesertanya mungkin bukan sahaja dari Kuching, tetapi juga Samarahan, Sibu dan Miri. Mereka boleh menggunakan pengetahuan yang diperoleh untuk menganjurkan kejohanan seumpamanya di kawasan masing-masing,” katanya.
Bengkel itu mendapat pengiktirafan Persekutuan E-Sukan Asia Tenggara dan Persekutuan E-Sukan Malaysia, selain dikendalikan atlet e-sukan pertama negara yang meraih pingat emas Sukan SEA 2019, Profesor Madya Ts Dr Yew Weng Kean bersama Naib Presiden II Persekutuan E-Sukan Malaysia, Muhammad Faries Faizal Shamsul.
Abdul Karim berkata, pengalaman serta jaringan kerjasama Persatuan E-Sukan Sarawak (SESA) bersama penggiat industri dalam dan luar negara diharap dapat membantu menjayakan ekspo berkenaan.
SAREX26 turut menghimpunkan pemimpin industri antarabangsa, termasuk Setiausaha Agung Persekutuan E-Sukan Antarabangsa (IESF), Boban Totovski; Pengarah Medianya, Laura Elizabeth; serta Presiden Persekutuan E-Sukan Asia Tenggara dan Vietnam, Hung Do Viet.
Turut dijadual hadir ialah Ahli Lembaga Persekutuan E-Sukan Rusia, Constantine Surkont; Ketua Pegawai Eksekutif Kin Global, Vincent Chai; dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Azlan Sharom.
Majlis penutup pada 15 November pula bakal menampilkan dialog industri bertemakan Beyond Gaming: The Business of Esports yang memfokuskan pelaburan, pengkomersialan, pembangunan organisasi e-sukan mampan serta kerjasama antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, kerjasama SESA bersama Tencent Games menerusi program PUBG MOBILE OOOHAAA Sarawak sebelum ini merekodkan 3,322 penyertaan di seluruh negeri.
Ekspo selama tiga hari itu turut menyediakan zon permainan interaktif, pameran teknologi dan peralatan permainan serta kira-kira 10 ruang pameran melibatkan syarikat teknologi, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan penggiat industri e-sukan.






