DENGAN turunnya bendera Union Jack 57 tahun lalu, secara rasmi Sarawak diberikan kepercayaan untuk berkerajaan sendiri.
Hari yang cukup bersejarah bagi rakyat Bumi Kenyalang dan hari ini 22 Julai 2020, kita sekali lagi berpeluang meraikannya.
Setiap anak Sarawak seharusnya berbangga, bertuah kerana dilahirkan dan dibesarkan di tanah air tercinta ini dalam suasana aman serta mendamaikan.
Tidak melalui saat-saat sukar seperti pejuang kemerdekaan terdahulu.
Bersempena sambutan ulang tahun Hari Sarawak kali ini, penulis ingin berkongsi cakap-cakap rakyat yang mungkin tidak sampai ke mana-mana.
Bergelar penulis, saya banyak mendengar dari sekecil-kecil perkara sehingga ke angan-angan yang agak mustahil dicapai.
Tetapi tidak mengapa, itu hak mereka sebagai anak Sarawak yang menginginkan suatu hari nanti, negeri ini harus bagaimana?
Antara yang menjadi keterujaan masyarakat hari ini ialah negeri maju.
Bila? 2030?
Itu sasaran yang ditetapkan pihak kerajaan, bermakna 10 tahun akan datang atau 120 bulan atau 3,650 hari ke depan.
Sesungguhnya, ada sesetengah pihak mempersoalkan sasaran itu selepas dunia menginjak 2020… ada yang bertanya Wawasan 2020 Mahathir dulu tercapaikah?
Wawasan 2020 tidak boleh menjadi kayu ukur kepada Sarawak untuk mencapai negeri maju 2030.
Tidak wajar dipukul rata kerana situasinya berbeza.
Sejujurnya, rata-rata rakyat mengakui dan berasa cukup yakin dengan apa-apa yang direncanakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sejak kebelakangan ini.
Kerana, faktor pertamanya ialah belanjawan tahunan yang besar untuk pembangunan negeri. Ini membolehkan banyak projek pembangunan dilaksanakan.
Kedua, kestabilan politik Sarawak termasuk pemimpinnya tidak seperti di Semenanjung.
Lebih-lebih lagi selepas hubungan baik yang terjalin antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan.
Ketiga, kekayaan sumber seperti minyak dan gas termasuk industri baharu serta pendapatan cukai yang lumayan.
Keempat, misi dan visi yang jelas.
Kelima, ekonomi digital serta guna pakai teknologi baharu yang sudah mula diterima masyarakat.
Kesemua perkara harus dipastikan dapat bergerak seiring, termasuk penduduknya.
Kalau kita sebagai penduduk hanya berpeluk tubuh, berdiam diri, maka sukarlah.
Bagaimanapun, rakyat tidak menafikan cabaran utama kerajaan hari ini ialah kawasan luar bandarnya yang masih dikatakan berhadapan isu infrastruktur asas.
Perkara ini harus diberikan tumpuan 200 peratus kerana ada lagi kawasan yang belum dihubungkan dengan jalan raya, air bersih, bekalan elektrik, rangkaian telekomunikasi dan kemudahan serta prasarana lain sedangkan ia merupakan perkara asas.
Maka, ke arah Sarawak menuju negeri maju, rakyat akan menjadi penilai kepada pencapaian kerajaan.
Antaranya jaringan jalan raya kerana pastinya rakyat ingin menikmati Lebuh Raya Pan Borneo, Jalan Pesisir, Jalan Utama Kedua, jambatan-jambatan utama yang akan menghubungkan Sarawak sekali gus.
Rakyat juga menunggu sistem grid air, elektrik yang akan menyelesaikan isu tersebut pada masa ini… tiada lagi air kelang-kelup.
Rakyat juga tidak ingin melihat sekolah-sekolah daif.
Selain itu, rakyat mengharapkan pertanian moden yang dicanang kini bakal mengubah nasib masyarakat luar bandar untuk berpendapatan lebih RM4,000 sebulan.
Rakyat mengidamkan kemudahan pengangkutan awam yang lebih efisien serta pelbagai lagi yang menggambarkan Sarawak maju suatu hari ini. Kesemua ini aspirasi rakyat yang harus dibuktikan oleh kerajaan untuk memastikan 2030 bukan umpama Wawasan 2020.
Justeru, demi tercapainya misi ke arah negeri maju 10 tahun akan datang rakyat diseru untuk memperkukuh sokongan kepada kerajaan.
Dengan mandat dan kepercayaan kita kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), semua itu dapat direalisasikan.
Bersempena hari istimewa ini, hadiahkan sebanyak mungkin rasa sayang kita kepada tanah air ini dengan penuh semangat cinta akan Sarawak.