Pasaran hartanah Sarawak stabil

KUCHING: Harga rumah di Sarawak bergantung kepada pelaksanaan Pelan Keluar setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu seberapa pantas ekonomi dapat pulih selepas penanguhan bayaran pinjaman bank yang tamat pada September 2020.

Demikian kata Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (SHEDA) Cawangan Kuching, Sim Khiang Chiok apabila dihubungi Suara Sarawak mengenai jangkaan harga rumah turun 10 peratus ekoran ekonomi semasa yang berlaku hari ini.

Katanya, terdapat pelbagai faktor dan pengalaman yang dipertimbangkan apabila membabitkan harga rumah semasa dan selepas pandemik Covid-19.

Umpamanya, krisis kewangan pada tahun 1998 disebabkan oleh hutang perbankan dan negara manakala tahun 2008 berlaku krisis kredit di mana kuasa besar perbankan mengalami masalah.

“Disebab pandemik Covid-19 ini, dunia telah berhenti dan dimulakan semula setelah virus ini berakhir.

“Hari ini kita mempunyai situasi yang berbeza dan bank kita pula berada dalam kedudukan kewangan yang kuat dari sebelum ini,” katanya.

Khiang Chiok memberitahu, untuk memahami harga hartanah khususnya perumahan dapat dilihat daripada pelbagai faktor seperti bekalan, permintaan, pembiayaan bank, lokasi, jenis hartanah untuk segmen pendapatan yang berbeza.

Beliau menambah, sebelum ini juga ekonomi negara tidak berada dalam tahap memuaskan dan, pada masa ini harga hartanah bersesuaian dengan kempen pemilikan rumah dan peraturan pembiayaan hartanah yang sangat ketat oleh Bank Negara.

Bagaimanapun katanya, pasaran hartanah di Sarawak adalah stabil sementara pembukaan baharu hartanah adalah rendah.

“Berdasarkan pandangan di atas wabak ini setelah PKP ditamatkan, kita tahu penangguhan bank selama enam bulan, subsidi gaji tiga bulan akan membantu aliran tunai untuk bekalan (pemaju), pekerjaan (permintaan) jadi, saya melihat harga rumah akan stabil namun sedikit penurunan.

“Ini juga bergantung kepada keinginan bank untuk memberikan pembiayaan akhir dalam tempoh penangguhan ini,” katanya lagi.

Beliau turut memberitahu, selepas tempoh penangguhan pembiayaan balik pinjaman enam bulan, harga hartanah akan bergantung pada pertumbuhan ekonomi dan sumber tenaga kerja.

Tambahnya, sekiranya kadar bayaran balik adalah rendah dan tidak banyak jualan balik secara paksa, harga hartanah akan stabil dan potongan harga rendah.

“Sekiranya ekonomi kita dapat dimulakan semula dan meneruskan momentum sebelumnya dengan cepat, kita dapat melihat perniagaan dan pendapatan kita mungkin tidak akan terjejas selepas 12 bulan setelah PKP ditamatkan.

“Sudah tentu setiap sektor mesti memainkan peranan untuk memastikan pakej rangsangan dilaksanakan secepat mungkin dan semua aktiviti ekonomi utama beroperasi semula.

“Bank harus cepat membantu Bank Negara Malaysia mengurangkan standard penilaian pemberian pinjaman yang sangat tinggi agar pinjaman bantuan mikro kepada PKS diberikan secepat mungkin.

“Ia juga penting bagi memastikan perniagaan masih dapat beroperasi dalam jangka waktu singkat,” ujarnya.