Pelayaran bertuah Cikgu Mohd Fadhil bersama Melaka River Cruise bawa pulang kereta Proton Iriz

KUCHING: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Itu pepatah paling sesuai buat Mohd Fadhil Ismail dari Kampung Hulu Kabong apabila memenangi hadiah utama kereta Proton Iriz menerusi peraduan Cabutan Bertuah “Cruise and Win” anjuran Melaka River Cruise (MRC) dan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) yang disertainya tahun lalu.

Mohd Fadhil yang juga seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Nansang Song, menjelaskan tahun lalu dia dan rakan guru lain dari Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran (PSKPP) Song mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan ke Melaka dalam Pertandingan Sukan dan Kebudayaan Warga Pendidikan Kebangsaan Melaka 2019.

“Semasa berada Melaka pada masa itu, kami ada menaiki perkhidmatan MRC dengan harga tiket ialah RM25 sekepala dan saya dapat dua tiket, maka saya pun sertai pertandingan yang ada ditawarkan, isi semua borang letak dalam kotak penyertaan.

“Saya tidak terfikir pun nak menang sebab saya ingat saya orang jauh dari Sarawak dan penyertaan begitu banyak, peluang memang tiada” jelasnya ketika ditemui Suara Sarawak pada majlis penyampaian hadiah di Plaza Merdeka hari ini.

Jelas Fadhil lagi dia begitu bersyukur atas kemenangan tersebut kerana kereta miliknya sebelum ini telah mengalami kemalangan, kemek depan dan belakang pada 26 Disember lalu.

“Setelah selesai dibaiki dibawa ke rumah, Januari lalu pada sebelah malamnya saya dapat panggilan dari pihak MRC menyatakan saya menang hadiah utama peraduan tersebut.

“Bagi saya semua perkara yang berlaku ada hikmahnya, dan kemenangan kereta ini juga mengubat kekecewaan kekalahan pertandingan yang disertai di Melaka dan kerosakan kereta saya,” katanya dengan wajah gembira.

Selain itu, beliau yang hadir bersama keluarga hari ini turut memberitahu akan mengadakan majlis kenduri kesyukuran atas kemenangan paling besar dan pertama kali dalam hidupnya itu.

Dalam pada itu peraduan tersebut turut menawarkan hadiah misteri kepada lapan pemenang dan salah seorangnya ialah Paulus Pengarah dari Sibu berjaya membawa pulang set barangan kemas.

Kali ini sempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2020, PPSPM sekali lagi memulakan peraduan tersebut dan akan menawarkan hadiah utama kereta Perodua Alza bernilai RM62,000.00, dan motosikal Yamaha Y15ZR termasuk lapan hadiah misteri dan cabutan bertuah bulanan.

Untuk rekod sebanyak RM306,933.00 berjaya diperoleh MRC sepanjang bulan Disember lalu dengan penyertaan peraduan tersebut, menjadikan jumlah kutipan lebih RM1juta dengan kehadiran seramai 889,924 pengunjung.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Nurul Syaza Anuar, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka River Cruise Azlan Abidin dan Penolong Pengarah Kementerian Perlancongan Seni dan Budaya Malaysia Sarawak Marahani Marikan.

Mohd Fadhil Ismail merakamkan foto kenangan bersama pemenang lapan hadiah misteri Paulus Pengarah sambil disertai wargakerja Melaka River Cruise.

Suara Sarawak