PUSA: Kira-kira 43 peratus keseluruhan belia di negeri ini dijangka mampu memberi implikasi dan cabaran hebat dalam konteks peranan golongan itu terhadap transformasi pembangunan Sarawak pada masa hadapan.
Adun Saribas, Mohammad Razi Sitam memberitahu, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Sarawak tahun ini jumlah belia (15-39 tahun) mencecah 1.2 juta daripada 2.8 juta penduduk Sarawak. Menurutnya, jumlah tersebut amat besar serta perlu diberi perhatian serius.
“Mereka dijangka mampu memberi implikasi dan cabaran hebat transformasi pembangunan Sarawak pada masa hadapan. “Justeru, kerajaan perlu memberi perhatian serius khasnya dalam aspek pembangunan modal insan untuk melahirkan generasi belia yang berwibawa, cemerlang, kental, sedia dan yakin menghadapi masa hadapan yang kian mencabar dan dinamik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Transformasi Belia: Kawan Ku Sayang, Keluarga Ku Kenang (KKSKKK) yang berlangsung di SK Tuie dekat sini, semalam.
Jelasnya, belia hari ini merupakan pewaris khazanah negara dan pelapis pemimpin masa hadapan untuk memacu negara ke arah yang lebih baik.
Bagaimanapun katanya, golongan ini sering dikaitkan dengan pengaruh negatif serta cabaran persekitaran termasuk trend semasa. Misalnya penyalahgunaan dadah yang kini merebak sehingga ke kampung-kampung. “Mereka mudah terjebak tanpa memikirkan kesannya terhadap masa depan masing-masing, misalnya kesihatan, kerjaya termasuk nama baik keluarga dan komuniti.
“Antara penyebabnya ialah sangat mudah terpengaruh dengan sesuatu yang negatif sama ada dalam bentuk tekanan atau cabaran rakan sebaya, hasrat ingin mencuba dan merasai sesuatu yang baharu dan sebagainya.
“Kalau kita rujuk kes berkaitan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah menengah di Sarawak antara yang tertinggi didapati positif dadah. “Daripada 191 sekolah yang berisiko, 301 pelajarnya positif dadah yang kebanyakan mereka berumur di bawah 18 tahun,” ujarnya.
Menurutnya, berdasarkan sumber Puspen Kuching sehingga Ogos 2019 menunjukkan punca utama penglibatan belia dalam penyalahgunaan dadah adalah pengaruh kawan iaitu 50.32 peratus.
Selain itu, niat ingin mencuba (25 peratus) dan faktor tekanan (15.53 peratus). Oleh itu tambah Razi, kebijaksanaan belia itu sendiri dalam memilih kawan amat penting, begitu juga peranan ibu bapa.
Hadir sama Penolong Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak (MTACYS) Paul Kawin Pipo, Penghulu Kampung Tuie Merawi Ais, Guru Besar SK Tuie Julaihi Nu serta ketua-ketua kaum.