KUCHING: Seramai 10 kanak-kanak menerima manfaat dalam edisi kedua program ‘Gift of Smile’ yang menyediakan pembedahan bibir sumbing dan lelangit secara percuma.
Program tersebut merupakan anjuran Hospital Pakar KPJ Kuching (KPJ Kuching), Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia.
Dalam kenyataan bersama, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini meneruskan misi murni membantu kanak-kanak yang memerlukan dengan menyediakan pembedahan tersebut.
Katanya, ia dilaksanakan bersama-sama pasukan profesional perubatan serta sokongan padu RMHC Malaysia yang memberi tumpuan kepada penjagaan – mengubah kehidupan kanak-kanak kurang berkemampuan di seluruh Sarawak.
“Melalui program ini, pakar perubatan KPJ Kuching bekerjasama rapat dengan pasukan dedikasi HUS, menggabungkan kepakaran mereka untuk memastikan hasil pembedahan yang selamat dan berjaya,” katanya.
Pada masa yang sama, katanya, RMHC Malaysia menyediakan sokongan kewangan dan logistik untuk meminimumkan halangan yang dihadapi keluarga dalam mendapatkan perkhidmatan ini.
Sementara Pengurus Besar KPJ Kuching Nor Azlina Jemain berkata program ini memberi impak besar kepada penerima.
Pada 2023, program sulung Gift of Smile memberi manfaat kepada 10 pesakit berusia antara enam bulan hingga 2 tahun.


