KUCHING: Unit Keselamatan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching telah mengeluarkan 10 notis di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan terhadap pengendali makanan bazar Ramadan di sekitar daerah ini.
Menurut unit tersebut, notis tersebut dikeluarkan menerusi Op Ramadan yang bermula 24 Mac lalu di bazar-bazar Ramadan yang sudah mendapat permit daripada Pihak Berkuasa Temptan (PBT).

Katanya, antara kesalahan yang dilakukan oleh peniaga dan pengendali makan termasuklah tidak memakai apron berwarna cerah, tidak menggunakan kasut serta berkuku panjang.
“Kesalahan lain yang turut dikesan seperti tiada rekod sijil kursus pengendali makanan, tiada suntikan vaksin tifoid, dan lain-lain pelanggaran yang boleh dikenakan kompaun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, katanya setakat ini, enam bazaar telah dilawati, sebanyak 395 premis dengan 1,181 pengendali makanan telah diperiksa dan 395 Arahan Pembetulan juga dikeluarkan sebagai teguran bertulis di bawah Seksyen 10 Akta Makanan 1983.
Tambahnya, sebanyak 13 sampel makanan berbagai jenis juadah juga telah diambil dan dihantar ke makmal untuk tujuan analisa dalam tempoh minggu pertama ini.
Dalam pada itu katanya, seperti kehendak di bawah Per.11 Peraturan Kebersihan Makanan 2009, terdapat juga kesalahan di pihak penganjur atau peniaga yang perlu dititik berat demi keselamatan makanan iaitu tiada dokumen berkaitan.
“Di bawah Akta Makanan 1983, notis kesalahan boleh dikeluarkan kepada mereka yang berwajib dimana boleh dikompaun sebanyak RM1,000 atau didakwa di mahkamah dengan denda sehingga RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun,” katanya.
Sehubungan itu katanya, orang awam terutamanya pengunjung bazar Ramadan juga dinasihatkan supaya bijaklah memilih makanan yang sihat dan dari premis makanan yang bersih demi kesihatan dan keselamatan diri dan keluarga mereka.
Selain daripada itu, aduan juga boleh ditujukan ke PBT (DBKU, MBKS , MPP) yang menjaga kawasan terbabit, ke Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching (Tel: 082-238635 / 244505) atau laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKKM di https://moh.spab.gov.my/eApps/sdmscasepool/SdmsCasePool/add.do.