Jangan pinggir pembangunan Lubok Antu

LUBOK ANTU: Parlimen Lubok Antu memerlukan lebih banyak pembiayaan kerajaan persekutuan untuk melaksanakan pelbagai projek infastruktur dan projek pembangunan rakyat bagi meningkat taraf hidup penduduk di kawasan itu.

Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang berkata
keutamaan ialah melaksanakan pembinaan jalan raya, bekalan air bersih, pembangunanan pendidikan dan kebajikan penduduk luar bandar.

“Saya berharap kerajaan yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) mampu membawa dan menyalurkan pembangunan apatah lagi kita kini menumpukan pembangunan di luar bandar yang masih ketinggalan berbanding di bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Ngiling Bidai Rumah Kaunselor Bangkong Ensawang 1, Skim Skrang semalam.

Sementara sempena majlis, Jugah telah menyumbangkan geran sebanyak RM35,000 kepada Rumah Kaunselor Bangkong.

Beliau berharap sumbangan itu dapat digunakan sebaiknya untuk membaik pulih rumah panjang berkenaan.

Selain itu, Jugah turut memberikan geran sebanyak RM10,000 kepada JKKK Rumah Kaunselor Bangkong dan RM5,000 kepada Biro Wanita Rumah Kaunselor Bangkong.

Majlis yang berlangsung sederhana namun cukup meriah dengan diselitkan pelbagai aktiviti santai itu telah menarik ramai tetamu dari sekitar Rumah Kaunselor Bangkong, Skim Skrang.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Lubok Antu Jim Andrew Janggi, Pegawai Bomba Gemong Batu dan 13 Tuai Rumah dari kawasan sekitar Rumah Kaunselor Bangkong, Skim Skrang.

Suara Sarawak