Trending

Feri lengang!

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

DARO: Langkah proaktif Kerajaan Sarawak menambah perkhidmatan feri di Batang Lassa dan Igan sempena sambutan Aidilfitri dan Gawai melancarkan aliran trafik di kawasan berkenaan.
Penambahan operasi feri ketiga mengurangkan masa menunggu kerana setiap kali sambutan perayaan, pengguna di kawasan itu terpaksa berbaris panjang berikutan peningkatan jumlah kenderaan.

Penduduk Matu, Julaihi Materang, 45, berkata, langkah itu amat melegakan mereka kerana tidak perlu lagi berbaris panjang seperti sebelum ini.

Tambah perit katanya, apabila pengguna terpaksa menunggu sehingga empat jam semata-mata balik ke kampung halaman masing-masing.

“Saya bertolak dari Sibu pada jam 5.00 petang semalam dan terkejut apabila mendapati tidak ada banyak kereta di feri seperti tahun lalu. Sudah pasti saya lega dan gembira. Nampaknya perjalanan kami untuk ke kampung tahun ini dipermudahkan,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Ali Sirat, 35, dari Daro berkata, sebelum ini mereka kerap mengalami kesulitan pada waktu puncak terutama hujung minggu, cuti persekolahan dan musim perayaan.

Katanya, penambahan sebuah lagi feri yang beroperasi sejak 25 Mei lalu, pengguna tidak perlu lagi menunggu lama.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak menambah sebuah lagi feri di sungai Batang Lassa dan Igan, ” ujarnya.

Baru – baru ini, Kerajaan Sarawak bersetuju menambah bilangan dan melanjutkan masa operasi feri bermula 25 Mei sehingga 16 Jun 2019 bagi menampung aliran trafik bersempena musim cuti sekolah, Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

Menteri Muda Jalan Pesisir Sarawak Datuk Julaihi Narawi memberitahu, sepanjang tempoh itu lima feri tambahan disediakan di pangkalan feri Sungai Sian, Bintangor, feri Lawas, Limbang, Muara Lassa, Batang Paloh dan Kuala Igan, Mukah.

Kesemua pangkalan feri itu katanya, masing-masing akan mendapat sebuah feri tambahan yang beroperasi sepanjang tempoh berkenaan.

Pada Januari tahun ini sebanyak 34,735 kenderaan menggunakan perkhidmatan feri Sebuyau Triso, meningkat kepada 38,549 pada Februari tetapi sedikit menurut kepada 38,226 pada Mac.

Secara keseluruhannya penggunaan perkhidmatan feri di sepanjang laluan Jalan Pesisir Sarawak menunjukkan trend meningkat.

Sehubungan itu, Julaihi menasihatkan pengguna feri supaya sentiasa mematuhi peraturan di samping memberi kerjasama dengan tidak memotong barisan dan mematuhi arahan krew yang bertugas demi keselamatan diri dan keluarga.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru