Keprihatinan S’wak jarang ditemui – Dr. Michio

KUCHING: Kerajaan Sarawak dipuji sebagai kerajaan prihatin dan mempunyai sikap mahu menerajui masa depan yang jarang ditemui di seluruh dunia.

Ahli fizik futuristik dan teori terkenal dunia dari Amerika Syarikat, Dr. Michio Kaku berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk The World pada 2030 di Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Ketiga Sarawak (Idecs) 2019 dengan tema Membayangkan Niaga Hadapan Sarawak di BCCK, kelmarin.

“Apa yang saya lihat di sini ialah kerajaan yang peduli tentang rakyatnya, kerajaan yang mahu memimpin rakyat ke masa depan ekonomi digital.

“Jarang sekali untuk mencari kerajaan dan menteri seperti di sini, betul-betul ingin memimpin masa depan,” katanya.

Dalam peralihan dunia kepada teknologi digital, Dr. Michio berkata, kerajaan perlu memilih industri secara rawak dengan memperincikan dan mengenal pasti di mana orang tengah.

Pada masa sama kenal pasti sumber geseran, ketidakcekapan, sisa, kelebihan, kesesakan, titik kelemahan dan sebagainya, serta menggunakan analitik dan kecerdasan buatan untuk mengatasinya.

BERCAKAP… Dr Michio menyampaikan ucapan di hadapan khalayak tetamu yang hadir di Idecs 2019 di Kuching.

“Empat gelombang penjanaan kekayaan yang pertama adalah kuasa stim, gelombang kedua ialah elektrik dan kereta, ketiga berteknologi tinggi termasuk laser dan komputer dan terakhir gelombang yang kita sedang terajui, iaitu bioteknologi, nanoteknologi dan kecerdasan buatan.

“Dalam era perindustrian, kita mempunyai minyak yang berkuasa terhadap segala-galanya namun dalam era maklumat ini, yakni sekarang bahan api untuk teknologi adalah data,” tegasnya.

Dr Michio menambah, setiap industri tanpa pengeculian akan direvolusi oleh analisis dan kecerdasan buatan, contohnya dalam robotik.

“Internet dan kecerdasan buatan ada di mana-mana, misalnya cermin internet digunakan di bilik operasi oleh doktor dan pakar bedah untuk menunjukkan imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI), imbasan dan banyak lagi.

“Pada masa akan datang, pekerja akan dapat melihat pelan dan arkitek akan dapat melihat model melalui kecerdasan buatan,” ujarnya.

Di samping itu, mesin yang dapat melihat kanser, mengesan penyakit alzheimer, dalam imbasan MRI pasti lebih cepat dilakukan berbanding doktor.

“Bagaimanapun, ini tidak bermakna kecerdasan buatan dapat menggantikan doktor, tetapi hanya sebagai bantuan tambahan kepada mereka,” katanya.

Dr Michio juga berkata, realiti maya (VR) digunakan secara meluas oleh kanak-kanak pada masa kini tetapi pada masa akan datang, manusia dapat menghadiri mesyuarat, persidangan, pertunjukan, lawatan, pendidikan, latihan dan sebagainya tanpa perlu hadir secara fizikal.

Mengenai pekerjaan yang ada pada masa akan datang, Dr. Michio menegaskan robot tidak dapat menggantikan manusia sepenuhnya.

“Tidak semua pekerja akan kehilangan pekerjaan mereka gara-gara wujudnya robot dalam masa depan.

“Banyak pekerjaan yang tidak boleh dilakukan oleh robot, seperti pekerja manual separuh mahir (tukang kayu dan tukang paip), pekerjaan yang melibatkan interaksi manusia yang merupakan peguam dan kaunselor, dan akhirnya kapitalis intelektual seperti penganalisis, saintis dan artis,” jelasnya.

Suara Sarawak