Pembinaan Jambatan Batang Lassa bermula

DARO: Pembinaan projek Jambatan Batang Lassa kini sudah bermula sekali gus membuktikan Kerajaan Sarawak komited menunaikan janjinya untuk rakyat.

Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi berkata, jambatan sepanjang 2.43 kilometer dijangka siap dalam tempoh 48 bulan itu bakal memberi impak besar kepada rakyat khususnya di Daro dan kawasan sekitarnya.

Pelaksanaan projek itu jelas membuktikan Kerajaan Sarawak di bawah pentadbiran GPS berusaha memaksimumkan pembangunan demi kemudahan dan kesejahteraan rakyat termasuk di kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Projek bernilai RM597.58 juta ini merupakan pelengkap jalan pesisir sepanjang 896 kilometer di Sarawak.

“Apabila siap kelak, perhubungan penduduk akan menjadi lebih mudah dan singkat berband- ing terpaksa menyeberangi sungai dan menaiki feri hari ini,” katanya ketika mempengerusikan mesyua- rat persiapan majlis pecah tanah jambatan berkenaan di Pejabat Daerah Daro semalam.

Hadir sama, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Abdullah Saidol, Adun Daro Safiee Ahmad, Timbalan Residen Bahagian Mukah Abdul Halim Abdullah dan Pegawai Daerah Daro, Bujang Rahman Seli.

Majlis dijangka disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 21 Ogos depan.

“Selain perasmian Jambatan Batang Lassa, kita juga menyentuh tentang majlis pecah tanah untuk Jambatan Batang Paloh yang dijangka diadakan tahun depan.

“Saya berharap semua pihak memberikan kerjasama agar majlis bersejarah ini berjalan lancar,” katanya.

Abdullah ketika ditemui berkata, pembinaan jambatan berkenaan membuktikan perjuangan wakil rakyat kawasan pesisir mula membuahkan hasil.

“Mesyuarat untuk membincangkan persiapan majlis pecah tanah untuk dua projek jambatan yang akan menghubungkan Pulau Bruit ke Daro (Batang Lassa) dan Serdeng (Batang Paloh).

“Kos membina dua jambatan ini menelan belanja kira-kira RM900 juta dan dibiayai sepenuhnya Kerajaan Sarawak. Pada masa sama, dua kontraktor dipilih melalui tender terbuka melakukan kerja penyediaan tapak sejak dua bulan lalu,” katanya yang juga Adun Semop.

Sejurus selesai mesyuarat, Julaihi ditemani Abdullah dan Safiee turut meninjau tapak projek yang terletak kira-kira empat kilometer dari pekan Daro itu.