Sedia patuhi Ordinan Perlombongan Minyak 1958

Hak merupakan suatu perkara yang perlu dipertahankan dan perlu dimiliki oleh orang yang benar-benar layak dan mestilah dikembalikan kepada pemiliknya.

Orang yang berhak menuntut apa-apa yang dimilikinya tidak akan mengemukakan tuntutan terhadap sesuatu perkara atau barangan dengan tangan kosong.

Apa lagi jika ia berkaitan dengan harta, terutama harta pusaka yang sudah lama diambil atau dinikmati oleh orang lain, tetapi baru kini hendak dituntut.

Hal tersebut sama seperti sumber minyak dan gas Sarawak. Analogi kepada hal ini adalah sama seperti menuntut harta pusaka yang lama dinikmati dan berada di dalam tangan orang lain.

Bezanya, ia tidak dimiliki secara total. Namun, yang diperjuangkan oleh Kerajaan Sarawak suatu perkara yang tidak salah di sisi undang-undang.

Mereka benar-benar mahu memperjuangkan hak yang dimiliki oleh negeri ini dan ia merupakan hak Sarawak yang dapat memberi kebaikan kepada rakyatnya.

Meletakkan syarat kepada sesiapa yang mahu mengaut sumber minyak dan gas di negeri ini bukan satu perkara yang kejam atau salah, tetapi ia sama seperti melindungi dan menjaga sumber itu dengan baik demi memberikan kemudahan kepada rakyat di sini.

Cukai 5 peratus yang diletakkan bagi hasil dari sumber minyak dan gas dari Sarawak bukan membebankan mana-mana syarikat minyak dan gas, tetapi kita mahu yang sepatutnya menjadi hak kita dipulangkan dan keuntungan tersebut mampu memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

Menurut Menteri Muda Undang-undang Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek Sarawak Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO58) merupakan undang-undang yang diperakui sah dan tiada apa yang boleh menyekat Sarawak untuk melaksanakannya.

Mempertahankan Hak

Katanya, undang-undang tersebut diluluskan pada 1958 dan masih berjalan, ini bermakna Sarawak boleh mempertahankan hak negeri ini melalui OMO58.

OMO58 diwujudkan untuk mengawal selia operasi perlombongan minyak dan gas, kita perlu mempertahankan sumber yang ada di negeri ini.

Hasidah turut menjelaskan kita tidak berkompromi terhadap sumber yang diambil dari Sarawak tidak kira di atas tanah atau dasar laut dalam sempadan negeri ini.

Hal tersebut jelas menunjukkan Kerajaan Sarawak akan mempertahankan apa-apa yang sepatutnya menjadi hak kita di negeri ini.

Beliau turut menyatakan, sesiapa yang mahu meneroka, memiliki, mengambil sumber dari Sarawak, mereka perlu mematuhi OMO58 .

Mereka mereka perlu mengambil lesen, membayar cukai tahunan, royalti, permit serta mematuhi syarat yang dikenakan oleh Kerajaan Sarawak.

Hal ini jelas menunjukkan Kerajaan Sarawak tidak mahu sumber gas dan minyak diambil oleh orang lain dan ia memberikan keuntungan besar kepada pihak tersebut.

Kita mahukan sumber negeri ini memberi keuntungan kepada negeri serta dapat digunakan untuk memajukan Sarawak.

Suara Sarawak