BINTULU: Kerajaan Sarawak komited membantu 104 penduduk Rumah Panjang James Kalip Ambu, Sungai Semanok, yang terjejas akibat kebakaran pada 10 November lalu.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sri John Sikie Tayai berkata, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan alat binaan RM70,000 bagi setiap pintu untuk membina semula rumah panjang terbabit.
Beliau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, turut menyerahkan sumbangan tunai RM10,000 sebagai bantuan segera untuk meringankan beban mangsa semasa lawatan kerja ke lokasi kebakaran baru-baru ini.
Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM40,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah James Kalip bagi menyokong proses pembinaan semula rumah panjang berkenaan.
John Sikie menegaskan usaha ini bagi memastikan penduduk dapat segera memulihkan kehidupan selepas kehilangan tempat tinggal.


