KUCHING: Sejumlah RM800,000 melibatkan 106 tuntutan ganti rugi telah dibayar sehingga kini bagi kerosakan peralatan elektrik akibat insiden terputus bekalan elektrik.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Abdul Rahman Junaidi berkata, tiada pembayaran ganti rugi dilakukan kepada pengguna bagi kerosakan peralatan elektrik disebabkan gangguan bekalan elektrik pada dasarnya.
“Namun, rayuan ganti rugi boleh dibuat dengan mengemukakan surat kepada Sarawak Energy berserta salinan laporan polis, bukti gambar kerosakan dan resit pembaikan peralatan.
“Sarawak Energy akan membuat siasatan susulan selepas menerima dokumen tersebut,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Kabong Datuk Mohd Chee Kadir pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Ketiga Persidangan DUN ke-19 di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau mendedahkan bahawa sebanyak 191 tuntutan ganti rugi telah diterima sejak tahun 2019 sehingga kini.
Mengulas mengenai punca gangguan bekalan elektrik di Kabong, beliau memberitahu bahawa kejadian disebabkan oleh faktor luaran sehingga menyebabkan kerosakan talian grid.
“Ia termasuk cuaca buruk, banjir kilat dan tanah runtuh, selain keadaan tiang patah akibat dilanggar kenderaan dan berlakunya kerja-kerja penggalian tanah oleh pihak kontraktor.
“Seterusnya, pokok tumbang atau gangguan sementara oleh hidupan liar atau sentuhan dahan pokok di bawah dan berdekatan dengan talian,” katanya.



