DARO: Seramai 1,062 peserta Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran DUN N.43 Daro berjaya memperoleh lesen selepas melepasi saringan, latihan, dan ujian yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen peserta dalam mengikuti setiap proses yang ditetapkan sehingga melayakkan mereka menerima lesen masing-masing.
Katanya, kejayaan berkenaan turut merupakan hasil kerjasama JPJ Sarawak, khususnya JPJ Cawangan Mukah, selain Pejabat Pusat Khidmat N.43 Daro, Pejabat Daerah Daro, Akademi Memandu Setria Sdn Bhd serta agensi berkaitan.
“Lesen yang diterima bukan tiket untuk memandu sesuka hati, sebaliknya amanah dan tanda kepercayaan supaya setiap penerima mematuhi undang-undang serta mengutamakan keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lesen Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran DUN N.43 Daro, di sini, hari ini.
Menurutnya, penerima khususnya golongan muda perlu menjauhi kegiatan samseng jalanan, lumba haram, serta aksi berbahaya seperti ‘wheelie’ dan ‘superman’ yang boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya.
“Gunakan lesen ini untuk perkara berfaedah seperti ke tempat kerja, mencari rezeki, dan membantu keluarga, bukannya terlibat dengan aktiviti yang melanggar undang-undang,” katanya.
Safiee turut mengingatkan penerima supaya menjadi penunggang motosikal yang berhemah, berdisiplin, dan matang dalam membuat keputusan ketika berada di jalan raya.
Katanya, usaha kerajaan menyediakan kemudahan infrastruktur serta melaksanakan program pendidikan dan keselamatan jalan raya hanya akan mencapai matlamat sekiranya pengguna turut mengubah sikap dan sentiasa mematuhi peraturan.
“Saya juga ingin menyeru JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar meneruskan penguatkuasaan serta kerjasama bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, khususnya kemalangan maut, selaras dengan sasaran mengurangkan kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030,” tambahnya.






