Program Aluih Pa’a Dana dapat sambutan meriah

MUKAH: Program Aluih Pa’a Dana anjuran Impian Mukah yang julung-julung kali diadakan mendapat sambutan yang mengalakkan dari penduduk sekitar Mukah setelah ia dilihat sebagai usaha untuk memartabatkan kraftangan Melanau agar tidak dilupakan khasnya buat generasi muda.

Program yang diadakan sehari di Dewan Serbaguna Kampung Tellian Ulu tersebut telah menarik penyertaan penuh untuk 30 orang peserta sebagai program rintis yang pertama kali diadakan di Mukah ini.

Menurut Adun Tellian Yusibnosh Balo, program sedemikian berupaya membantu memartabatkan kraf tangan Melanau agar dapat dimajukan dan dikomersial dalam masa yang sama berupaya memajukan ekonomi penduduk setempat.

“Ribuan terima kasih dan syabas kepada ahli berhormat Ahli Parlimen Mukah Datuk Hajar Hanifah kerana telah menganjurkan program sebegini, kerana beliau memahami kebudayaan dan kraf tangan masyarakat Melanau di Mukah, kita harapkan hasil daripada bengkel ini nanti dapat menjadikan kraf tangan asal Melanau, dapat dikomersial ke pelbagai daerah,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.

Beliau turut berpendapat kraf tangan tersebut berupaya membantu memastikan alam sekitar dapat terus terpelihara sekiranya ia dapat digunakan untuk masa hadapan bagi mengantikan plastik yang mencemarkan alam sekitar.

“Sebenarnya banyak kraf tangan dapat dihasil dari rumbia ini sejak turun termurun dalam kehidupan seharian dahulu, terutamanya sekarang zaman moden kita begitu menghargai alam sekitar terutamanya penggunaan plastik-plastik dan polistren.

“Jadi adalah agak bertepatan dengan masanya kita menggunakan bahan-bahan dari alam semulajadi yang berasakan rumbia untuk dijadikan kraf tangan, dan menukar polistren sebagai pembungkusan terutamanya ‘Upak’ yang dihasilkan ini,” katanya.

Selain itu, tambahnya anak anak muda terutamanya, perlu melibatkan diri dalam kemahiran kraftangan ini , kita mahu mereka dapat bersama-sama dengan generasi yang telah berumur dapat mengenal budaya dan adat resam Melanau dari segi kraf tangan selain untuk tujuan pelancongan dan sebagainya.

Pengelola Program Impian Mukah, Lyona Stephen menjelaskan program tersebut berjaya mendidik peserta bagaimana menghasilkan kraf tangan dari dahan pokok rumbia dan rotan selain turut diajar bagaimana untuk menghasilkan topi untuk kaum lelaki Melanau yang dipanggil Ulow Bulieng.

“Kraf tangan yang kita buat hari ini adalah sepenuhnya dari dahan pokok rumbia, dan hari ini peserta berjaya hasilkan Upak Te’ngan, Upak Ikak, Upak Balok dan banyak lagi produk upak dari dahan daun rumbia ini,” katanya.

Dalam program berkenaan, peserta telah diberi tunjuk ajar oleh Guru Kraftangan Melanau, Edmund Salman Tuna, dan Johnny Anthony yang mengajar setiap langkah yang betul untuk menghasilkan Upak dan Ulow Bulieng dengan kemas dan penuh teliti.

Produk-produk yang dihasilkan.
Hanifah berkesempatan bersama-sama peserta lain turut serta belajar menghasilkan Upak dan Ulow Bulieng.

Hanifah merakamkan gambar kenangan bersama-sama semua peserta yang turut serta

Suara Sarawak