KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas 11.45 tan serbuk ketum bernilai kira-kira RM1.145 juta dalam operasi di sebuah premis di Tuaran, Khamis lepas.
Menurut Bernama, operasi bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran itu dijalankan kira-kira 6 pagi hasil maklumat risikan.
Pemeriksaan di premis dan sebuah lori menemukan sejumlah besar serbuk daun ketum yang diproses dan dibungkus, dipercayai untuk tujuan pengedaran. Empat individu, termasuk seorang wanita berusia antara 23 hingga 46 tahun, turut ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, manakala siasatan lanjut diteruskan bersama JSJN Sabah bagi mengenal pasti baki anggota sindiket.
PPM Wilayah 4 Sabah berkata pihaknya akan terus memperkukuh risikan dan kerjasama dengan agensi penguat kuasa bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.



