MIRI: Seramai tujuh orang kaki tangan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) mengadakan rombongan Pengalaman Produk Sarawak (SPE) bersama empat pengamal media selama empat hari, bermula 26 hingga 29 Ogos ini.
Program tersebut dijalankan dengan mengadakan lawatan ke beberapa tempat di Kapit, bermula di Sungai Asap hingga ke pekan Belaga.
Menurut Ketua Projek SPE Prisca Wong, program tersebut bertujuan untuk mengenal pasti dan mengkaji potensi produk pelancongan.
Dengan itu, maklumat mengenai potensi promosi dalam pasaran di sini dapat disusun dan dikongsikan kepada orang luar Sarawak.
“Selain itu, ianya juga mensasarkan pelanggan dengan berkesan dan meningkatkan pengalaman pelawat untuk nilai yang baik untuk lawatan mereka di Sarawak.
Katanya, melalui pengalaman ini, ianya dapat membuka peluang untuk bertemu pemilik produk tempatan sambil meneroka peluang pelancongan di kawasan yang berpotensi.
SPE merupakan salah satu arah strategik yang diambil oleh STB untuk terus memberikan maklum balas daripada pemilik produk untuk menyesuaikannya dengan keperluan agensi pelancongan.