BINTULU: Sebanyak 11 pasukan dari Bintulu, Mukah dan Miri berentap dalam Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup PETRONAS (PYFCT) Kategori Bawah 10 Tahun di Stadium Bintulu, yang berlangsung selama dua hari bermula 8 Ogos.

Menurut PETRONAS, kejohanan itu bukan sekadar medan persaingan, malah platform pendedahan awal pemain muda dalam suasana kompetitif serta tersusun.
“PYFCT bertujuan mencungkil bakat baharu selain membentuk pemain yang mempunyai disiplin tinggi, semangat berpasukan, ketahanan mental dan nilai kesukanan.
“Ia turut menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak serta menyediakan persekitaran selamat dan kondusif untuk pembangunan belia melalui bola sepak,” menurut kenyataan PETRONAS, hari ini.
Kejohanan menggunakan format tujuh sebelah termasuk penjaga gol, dengan setiap pasukan dibenarkan mendaftarkan antara 10 hingga 12 pemain.
Pasukan bertanding dibahagikan kepada dua kumpulan – dua pasukan terbaik setiap kumpulan mara ke separuh akhir sebelum saingan akhir.
Setiap pasukan turut dibimbing jurulatih berlesen, memiliki sekurang-kurangnya Sijil Kejurulatihan Bola Sepak Kelas D bagi memastikan aspek pembangunan pemain terus diberi keutamaan.
Program PYFCT merupakan antara inisiatif pembangunan sukan akar umbi PETRONAS yang dilaksanakan di beberapa lokasi di Sarawak termasuk Kuching, Bintulu dan Mukah, membabitkan kategori Bawah 8, Bawah 10, Bawah 12, Bawah 14 dan Bawah 16 tahun.
Di Kuching, saingan kategori Bawah 8 dan Bawah 10 tahun yang berlangsung sebelum ini menghimpunkan 27 pasukan, manakala kategori Bawah 14 dan Bawah 16 tahun akan diteruskan di beberapa lokasi lain.
Pasukan terbaik daripada siri kejohanan itu bakal beraksi dalam PETRONAS Youth Football Champions League 2026 yang dijadual berlangsung pada Disember depan, sekali gus membuka peluang kepada pemain muda Sarawak menyerlahkan bakat di pentas lebih tinggi.


