ARTIKEL

JAWAB SOALAN…Jamri menjawab soalan daripada pemberita.

113 Nyawa Terselamat, 50 Anggota Bertarung Padam Kebakaran di Pasaraya Mydin

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 113 individu berjaya diselamatkan dalam insiden kebakaran di Pasaraya Mydin, Taman Vista Tunku selepas sistem penggera kebakaran berfungsi tepat pada masanya semasa kejadian berlaku.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, PKPjB Jamri Masran berkata, kebakaran itu dilaporkan berlaku sekitar 11.32 pagi dan dipercayai berpunca daripada sebuah kedai yang menjual peralatan sukan dan kasut, sebelum mengeluarkan asap tebal yang memenuhi ruang pusat beli-belah berkenaan.

“Pasukan pertama dari Balai Bomba Petra Jaya tiba kira-kira 10 minit selepas panggilan kecemasan diterima daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri.

“Operasi pemadaman turut dibantu oleh anggota dari Balai Bomba Batu Lintang dan Tabuan Jaya, melibatkan kira-kira 50 anggota keseluruhannya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurut Jamri, sistem penggera kebakaran bangunan berfungsi dengan baik pada peringkat awal dan membantu proses pengosongan segera, sekali gus memastikan semua pengunjung serta pekerja dapat dikeluarkan dengan selamat.

Bagaimanapun, beliau berkata, bekalan elektrik bangunan terputus sebaik kejadian berlaku, menyebabkan beberapa sistem keselamatan kebakaran dalaman gagal berfungsi.

“Api tidak besar dan berjaya dikawal dalam masa yang singkat. Namun, cabaran utama kami ialah asap tebal di dalam bangunan yang menyukarkan operasi.

“Sebaik kami tiba, bekalan elektrik telah terputus dan sistem keselamatan tidak dapat diaktifkan. Sistem mekanikal penyedut asap masih berfungsi, tetapi tidak begitu efektif ketika itu,” jelasnya.

Beliau berkata, pasukan bomba terpaksa bergantung sepenuhnya pada sumber air daripada pili bomba (hydrant) dan jentera pemadaman kerana hose reel di dalam bangunan tidak dapat digunakan tanpa bekalan elektrik.

Tambahnya, asap tebal yang memenuhi bangunan berjaya dikeluarkan melalui bahagian bumbung dengan bantuan sistem mekanikal bangunan, sebelum pasukan memasuki fasa overhaul bagi memastikan tiada sisa api tertinggal dan mengelakkan risiko kebakaran berulang.

“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut. Operasi turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Siasatan lanjut berhubung punca kebakaran dan kegagalan sistem keselamatan dalaman sedang dijalankan, dan perkembangan susulan akan dimaklumkan setelah operasi selesai sepenuhnya,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU