KUCHING: Kehadiran pemimpin yang sudi mendengar rintihan hati menjadi penguat semangat buat mangsa banjir ketika mereka berdepan detik sukar menguruskan keselamatan diri dan keluarga di pusat pemindahan sementara (PPS).
Sentuhan peribadi itu dirasai mangsa banjir apabila Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah meluangkan masa turun padang bagi menyantuni penduduk yang terjejas di beberapa PPS di negeri ini, hari ini.

Bagi penduduk yang terpaksa meninggalkan kediaman dalam keadaan tergesa-gesa, kunjungan tersebut bukan sekadar lawatan rasmi, malah menjadi simbol keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.
Dalam kunjungan tersebut, Fatimah menyantuni mangsa dengan bertanya khabar selain menyampaikan sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Tabung Baitulmal Sarawak kepada penghuni PPS.
Sumbangan berkenaan diharap dapat meringankan beban mangsa sepanjang tempoh pemindahan selain memberikan kelegaan kepada mereka yang terkesan akibat bencana tersebut.

Beliau turut meninjau kemudahan yang disediakan di PPS serta mendengar sendiri keluhan mangsa, khususnya melibatkan keperluan asas dan kebajikan golongan rentan termasuk wanita, kanak-kanak serta warga emas.
Setakat jam 11 pagi, seramai 1,196 mangsa daripada 300 Ketua Isi Rumah (KIR) masih berlindung di 10 PPS yang merangkumi kawasan Kuching, Samarahan dan Limbang dengan trend mangsa menunjukkan peningkatan.
Bahagian Kuching merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 1,134 orang yang ditempatkan di lapan PPS melibatkan dewan masyarakat, sekolah dan rumah ibadat.
Di Samarahan, seramai 23 mangsa ditempatkan di Dewan Suarah Samarahan, manakala di Limbang seramai 39 mangsa berlindung di Dewan Masyarakat Trusan.
Sementara itu, proses pendaftaran mangsa melalui Sistem Info Bencana masih diteruskan bagi memastikan data sentiasa dikemas kini agar penyaluran bantuan lebih tersusun.




