BAU: Operasi bersepadu penguatkuasaan trafik di daerah Bau dan kawasan sekitarnya mencatatkan 12 saman dikeluarkan dalam tempoh dua jam melibatkan pemeriksaan ke atas 25 kenderaan pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Bau Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, operasi yang dilaksanakan antara 10 pagi hingga 12 tengah hari itu dijalankan di beberapa lokasi utama termasuk Jalan Bau–Kuching, Jalan Bau–Lundu, Jalan Siniawan serta kawasan pekan Bau dan Siniawan.
“Sepanjang operasi tersebut, sebanyak 30 individu turut diperiksa, terdiri daripada 17 lelaki dan 13 wanita, melibatkan pengguna jalan raya yang melalui laluan utama di daerah berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dikesan, termasuk pemandu tanpa lesen, tayar kenderaan botak, penggunaan nombor pendaftaran kenderaan yang tidak jelas serta pengubahsuaian ekzos secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan.
Bagi kategori lori, satu kesalahan dikesan melibatkan keadaan tayar botak yang berisiko kepada keselamatan jalan raya, khususnya ketika melalui laluan berbukit dan selekoh di kawasan Bau.
Sementara itu, bagi kategori kereta persendirian, antara kesalahan yang direkodkan termasuklah kegagalan memakai tali pinggang keledar, ketiadaan lesen memandu, pengubahsuaian ekzos serta keadaan tayar yang tidak selamat digunakan.
“Dalam kategori kenderaan pacuan empat roda (4WD), beberapa kesalahan turut dikesan termasuk pemandu tidak memiliki lesen memandu, nombor pendaftaran kenderaan yang kabur serta lampu brek ketiga yang tidak berfungsi dengan baik.
“Kesemua kesalahan tersebut membawa kepada pengeluaran sebanyak 12 keping saman di bawah peruntukan PDRM (K) 257,” katanya.
Dalam pada itu kata Mohd Haide, sepanjang operasi berlangsung, tiada sebarang tangkapan, rampasan atau sitaan dilakukan, manakala keadaan trafik di semua lokasi pemeriksaan dilaporkan lancar.



