KUCHING: Lebaran tahun ini lebih bermakna bagi 120 penerima yang menerima baju raya baharu menerusi Program Sinaran Raya anjuran Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Samariang di Pusat Beli-belah Mydin Petra Jaya, hari ini.
Naib Ketua Cawangan PBB Samariang, Shaukat Khan Ishtiaq, berkata program yang telah dilaksanakan sejak 10 tahun lalu mensasarkan kanak-kanak yang memerlukan, asnaf, dan anak yatim.
Katanya, setiap ranting PBB Samariang akan mendapatkan antara lima hingga lapan kanak-kanak untuk membeli-belah pakaian baharu bagi memastikan mereka juga merasai kegembiraan menyambut Aidilfitri.
“Tahun ini kita bawa 120 orang dalam Program Sinaran Raya, di mana 95 orang membeli-belah di Mydin, manakala 25 yang lain kita jejak kasih dengan RM200 seorang untuk membeli sepasang baju raya baharu,” katanya ketika ditemu bual.
Shaukat menambah, nilai sumbangan juga dinaikkan dari RM150 ke RM200 tahun ini bagi memastikan penerima dapat membeli kelengkapan raya yang lebih lengkap.
“Sekurang-kurangnya dapat membeli baju Melayu, sampin, dan songkok. Bagi penerima perempuan, mereka dapat membeli baju kurung dan sandal dengan RM200.”
“Insya Allah, jika kita ada bajet lebih, kita akan menambah lagi pada tahun 2026. Itu adalah seruan Yang Berhormat Datuk Sharifah Hasidah untuk mengamalkan dan menjaga warga kita di Samariang serta semua yang memerlukannya,” katanya.
Pada masa hadapan, beliau berharap jumlah penerima dapat ditambah kepada 10 hingga 15 orang dengan nilai sumbangan yang turut dipertingkatkan kepada RM300.





