MATU: Seramai 13 penghuni sebuah rumah tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah 100 peratus dalam kejadian kebakaran di Kampung Treng Sekaan Besar Matu, di sini, semalam.
Kejadian tersebut turut menyebabkan dua buah rumah struktur tidak kekal yang berhampiran terbakar lima peratus.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian pada jam 4.50 petang.
“Kebakaran tersebut melibatkan rumah berkeluasan 40 kali 60 kaki persegi.

“Rumah tersebut didiami seramai 13 ahli keluarga iaitu 10 lelaki dan tiga perempuan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, katanya kesemua penghuni rumah tersebut berjaya menyelamatkan diri, tidak mengalami kecederaan dan tiada sebarang kemalangan jiwa.
“Pihak bomba melakukan pemadaman dengan teknik bertahan, iaitu membentang satu aliran 200 kaki dua nozel sumber air terbuka.
“Setelah memastikan tiada lagi kebakaran dan api padam sepenuhnya, pasukan bomba balik ke balai,” tambahnya.



